Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

October 23, 2014
by afifbahardin
0 comments

Rakyat Hakim Negara

image

sebuah sangkar besi
tidak bisa mengubah rajawali
menjadi seekor burung nuri

rajawali adalah pacar langit
dan di dalam sangkar besi
rajawali merasa pasti
bahwa langit akan selalu menanti

hidup adalah merjan-merjan kemungkinan
yang terjadi dari keringat matahari
tanpa kemantapan hati rajawali
mata kita hanya melihat matamorgana

rajawali terbang tinggi
membela langit dengan setia
dan ia akan mematuk kedua matamu
wahai, kamu, pencemar langit yang durhaka

-Rajawali, WS Rendra 1997

Pada tahun 1998, Anwar Ibrahim telah mencuri pandangan dunia terhadap Malaysia dan menyentuh jutaan hati rakyat negara ini. Pemecatan dari menjadi ‘orang nombor dua’ dalam negara ketika itu telah menggegar pentas politik negara. Maka bermulalah apa yang diistilahkan oleh penganalisa politik — era Reformasi yang akhirnya menyaksikan Anwar ditangkap pada 20 September 1998. Saat tokoh ini disingkir dari gerbang kuasa secara aib; beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai bentuk penghinaan, deraan fizikal dan mental, yang kemudiannya memerosokkan beliau ke penjara selama hampir enam tahun. Mulai dari detik itu, ramai yang mulai beranggapan riwayat politik Anwar telah berakhir.

Anwar mulai mencuri tumpuan khalayak sebagai seorang pemimpin muda yang menggerakkan kebangkitan Islam dan pelajar di Malaysia dalam era 70an, seterusnya bergelut sebagai reformis UMNO yang dilihat pantas mendaki hierarki kekuasaan. Ternyata kewibawaan dan kepimpinan beliau mengundang cemburu di kalangan para penguasa UMNO. Selepas ‘cubaan bunuh’ oleh Dr. Mahathir Mohamad dan para konspirator politik terhadap Anwar, tanpa diduga beliau tampil sebagai pemimpin utama barisan pembangkang beberapa ketika selepas dibebaskan dari penjara ketika pentadbiran negara dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi. Hasil kebijaksanaan dan diplomasi politik beliau dalam memimpin barisan pembangkang, kekuatan Barisan Nasional berjaya dirobek dalam Pilihan Raya Umum 2008. Lantaran itu, mitos bahawa kononnya hanya Barisan Nasional sahaja yang mampu untuk memerintah negara akhirnya dimusnahkan. Kebangkitan barisan pembangkang yang kini bergerak dengan nama Pakatan Rakyat di bawah teraju Anwar ternyata mengejutkan para penganalisa politik.

Reformasi kini memasuki usia 16 tahun. Telah banyak pencapaian dikecap, antaranya adalah Barisan Nasional yang kehilangan dua pertiga kerusi majoriti di Parlimen, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, suara awam yang lebih kuat, tembok perkauman semakin retak, harapan kepada sistem dua parti tampak cerah dan banyak lagi pencapaian yang tak terjangkau imaginasi kita sebelum ini. Tidak mungkin pencapaian ini dikecapi jika pengorbanan dan apa yang menimpa Anwar tidak menjadi pemangkin kepada tuntutan perubahan ini. Anwar memilih untuk bersama dengan rakyat di saat mereka bergelut dalam kegetiran dan menolak segala godaan kuasa, harta dan kedudukan semata-mata untuk mempertahankan prinsip perjuangan dan membentuk sebuah negara Malaysia yang bebas, demokratik dan bermaruah.

Kini Anwar bakal dipenjara lagi. Keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas adalah untuk memenjarakan beliau selama lima tahun. Tidak cukup dengan penjara, hak beliau sebagai rakyat turut dinafikan. Tiada ruang untuk bersuara di dalam media perdana. Fitnah, cercaan dan penghinaan saban hari diulang tayang di media-media kawalan Barisan Nasional. Biro Tatanegara digunakan sepenuhnya sebagai agen propaganda menyerang Anwar. Universiti dipasung menolak kehadiran beliau. Apa salah Anwar? Salahnya hanya satu – menjadi jurubicara rakyat Malaysia melawan kebobrokan dan kepincangan sistem yang ditaja UMNO dan Barisan Nasional. Beliau menjadi suara kepada rakyat yang cintakan negara ini, yang dahagakan perubahan yang dambakan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Beliau menjadi ‘voice of conscience’ – suara kesedaran untuk kita semua.

Percayalah, keadilan untuk Anwar ini bukanlah soal perjuangan membela sosok. Jauh sekali perjuangan peribadi beliau. Anwar menjadi simbol perjuangan rakyat menolak apa jua bentuk kezaliman. Selagi mana ketidakadilan, kezaliman dan kekejaman terhadap Anwar berlaku dan berulang, ia menjadi bukti jelas bahawa sistem kehakiman di negara ini masih pincang, pentadbiran masih korup serta media yang terkongkong. Pembohongan, fitnah dan penipuan disogok kepada rakyat hingga ke tahap yang langsung tidak boleh diterima oleh norma masyarakat. Semua ini hanya berlaku apabila ‘kejahatan’ mengatasi ‘kebaikan’; hanya apabila ‘kebaikan’ berdiam diri membenarkan segala kebejatan ini berlaku.

Tidak ada saat lain yang mana Anwar lebih memerlukan rakyat dari sekarang. Beliau bakal dipenjara lagi — kerana berjuang untuk rakyat. Sudah tiba masanya kita bangkit. 28 dan 29 Oktober ini tarikh keramat. Maka saya menyeru semua khususnya anak muda supaya hadir beramai-ramai ke Istana Kehakiman bagi menzahirkan sokongan kita kepada Anwar. Biarlah menjadi sejarah kepada generasi masa depan bangsa kita bahawa pada tarikh keramat tersebut — rakyat adalah hakim negara!

September 25, 2014
by afifbahardin
0 comments

ANGKATAN MUDA KEADILAN MENGALU-ALUKAN PELANTIKAN MENTERI BESAR BARU NEGERI SELANGOR

AZMIN ALI_SELANGOR_MB

 

 

KENYATAAN MEDIA

ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

 

22 SEPTEMBER 2014

 

ANGKATAN MUDA KEADILAN MENGALU-ALUKAN PELANTIKAN MENTERI BESAR BARU NEGERI SELANGOR

 

Angkatan Muda KEADILAN mengalu-alukan pengumuman oleh YB Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang telah merestui pelantikan YB Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru dan juga telah dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN sebulat suara. Kami percaya pengumuman ini disambut baik oleh majoriti anggota parti dan rakyat negeri Selangor.

 

Sehubungan dengan itu Angkatan Muda KEADILAN menyeru semua pihak untuk bergerak maju ke hadapan bersama dengan kepimpinan Menteri Besar Selangor yang baru. Seiring dengan perkembangan ini, kami akan membantu merangka dasar untuk belia dan anak muda samada di bandar dan desa merangkumi aspek pembangunan insan, ekonomi dan sosial.

 

Kami berharap dengan pelantikan ini, Negeri Selangor Darul Ehsan akan menjadi negeri yang komited dengan agenda kesejahteraan dan kemakmuran rakyat seperti mana yang dipersetujui bersama oleh Pakatan Rakyat. Semoga Negeri Selangor akan menjadi bukti kejayaan dasar pentadbiran Pakatan Rakyat dan seterusnya menjadi pemangkin untuk ke Putrajaya.

 

DR. AFIF BAHARDIN

Timbalan Ketua

Angkatan Muda KEADILAN

September 25, 2014
by afifbahardin
0 comments

PIMPINAN TERTINGGI WAJAR KEMBALI PERKUKUH PAKATAN RAKYAT MENERUSI SEMANGAT KEBERSAMAAN DAN MUSYAWARAH

Malaysia's opposition leaders hold hands at the end of their People's Alliance conference in Shah Alam

KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

21 SEPTEMBER 2014

PIMPINAN TERTINGGI WAJAR KEMBALI PERKUKUH PAKATAN RAKYAT MENERUSI SEMANGAT KEBERSAMAAN DAN MUSYAWARAH

Angkatan Muda KEADILAN mengambil maklum pandangan serta kritikan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungan beliau di Muktamar PAS semalam dengan penuh keterbukaan.

Tahaluf siyasi atau kerjasama politik sewajarnya dilandaskan di atas nilai kebersamaan dan kepercayaan sebagaimana yang telah dipersetujui di awal pembentukan Pakatan Rakyat iaitu untuk memperjuangkan prinsip keadilan dan kebebasan di Malaysia dalam kerangka yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka sewajarnya semangat dan matlamat ini digarap dan dihidupkan semula demi memulihkan kembali hubungan dua hala yang kini kelihatan keruh di antara parti PAS, DAP dan KEADILAN.

Rentetan beberapa isu sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 termasuk masalah pertindihan kerusi di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat, Kajang Move, hudud dan krisis pelantikan Menteri Besar Selangor telah mengakibatkan perbezaan pendirian di antara parti-parti bertukar menjadi krisis dan pergeseran terbuka sesama pemimpin. Ini seterusnya mengundang tafsiran serong di mata rakyat serta menjejaskan reputasi para pimpinan Pakatan Rakyat ke tahap yang cukup membimbangkan.

Justeru, kami dengan penuh rasa hormat dan rendah diri memohon agar barisan kepimpinan Pakatan Rakyat agar segera mencari titik persamaan dengan kembali ke meja rundingan dan mengangkat semangat muafakat sebagai teras untuk mengukuhkan semula Pakatan Rakyat. PAS, DAP dan KEADILAN perlu bersatu dan kembali kepada mauduk asal Pakatan Rakyat iaitu untuk menegakkan keadilan dan kebebasan demi membentuk sebuah negara Malaysia yang gagah.

Kami juga berpandangan Pakatan Rakyat juga perlu memulakan inisiatif baru dengan mengalu-alukan penglibatan parti-parti politik lain di seluruh negara termasuk parti-parti dari Borneo untuk berganding bahu untuk mendepani UMNO – Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

Sesungguhnya rakyat menaruh harapan yang cukup tinggi untuk melihat sebuah Pakatan Rakyat yang utuh dan kuat untuk terus membela dan memartabatkan hak mereka.

DR. AFIF BAHARDIN
Timbalan Ketua
Angkatan Muda KEADILAN

September 3, 2014
by afifbahardin
0 comments

PENDAKWAAN KE ATAS DR. AZMI SHAROM CABULI PRINSIP KEBEBASAN AKADEMIK

image

KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

4 SEPTEMBER 2014

PENDAKWAAN KE ATAS DR. AZMI SHAROM CABULI PRINSIP KEBEBASAN AKADEMIK

Angkatan Muda KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya pendakwaan di bawah Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadap Dr. Azmi Sharom, semalam. Tindakan mendakwa beliau jelas merupakan satu pencabulan terhadap prinsip kebebasan bersuara dan kebebasan akademik.

Angkatan Muda KEADILAN berpendirian adalah tidak adil untuk mendakwa beliau hanya kerana beliau mengutarakan pendapat dan pandangan di atas kapasiti sebagai seorang pensyarah undang-undang. Tambahan pula, pendakwaan beliau dilihat sebagai kesinambungan dari penyalahgunaan Akta Hasutan oleh Kerajaan yang mutakhir ini menyaksikan beberapa tokoh politik pembangkang didakwa.

Sehubungan dengan itu, kami mencabar Ketua Pemuda UMNO, YB Khairy Jamaluddin yang selama ini menzahirkan dirinya sebagai seorang pemimpin muda yang progresif untuk tampil menyatakan pendirian dan sikap beliau terhadap pendakwaan ke atas Dr. Azmi Sharom ini. Apakah Pemuda UMNO merestui tindakan Kerajaan yang menyalahgunakan akta lapuk warisan kolonial untuk mengekang percambahan idea dan wacana intelektual?

Justeru, kami menuntut pihak Kerajaan supaya menghentikan kegilaan ini dan menghormati hak rakyat dan ahli-ahli akademik untuk terus bersuara menyatakan pandangan sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Perdana Menteri juga sewajarnya diingatkan tentang janji dan komitmen beliau untuk memansuhkan Akta Hasutan serta tidak bertindak mengikut telunjuk pihak berkepentingan hanya untuk mengekalkan sokongan semata-mata.

DR. AFIF BAHARDIN
Timbalan Ketua
Angkatan Muda KEADILAN

merangkap

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Pulau Pinang