Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

August 20, 2014
by afifbahardin
0 comments

Isu Kemasukan Pelajar Perubatan ke IPTA dan Kebanjiran Doktor Perubatan di Malaysia

image

Pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran bahawa Kerajaan memilih untuk mengurangkan jumlah kemasukan pelajar perubatan ke universiti awam sebagai satu langkah untuk mencegah kebanjiran doktor di dalam pasaran negara adalah satu tindakan yang kurang cermat dan bukan satu bentuk penyelesaian jangka panjang. 

Permasalahan kebanjiran graduan perubatan di dalam pasaran harus dilihat kepada beberapa permasalahan di dalam dasar kerajaan selama ini. Pertambahan mendadak universiti – universiti swasta yang menawarkan subjek bidang Perubatan sebelum ini telah menjadi salah satu penyebab kepada kebanjiran graduan perubatan. Termasuk juga kebanjiran graduan luar negara yang telah mendapatkan pengajian mereka secara swasta di universiti – universiti luar negara seperti Indonesia, Ukraine dan beberapa negara lain. Limpahan graduan ini juga menyumbang kepada masalah bila mana setiap graduan perubatan yang diikitiraf; secara ‘wajib’nya diambil bekerja dengan kerajaan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah (house officer). Dengan jumlah hospital pakar yang tidak bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini; jumlah pakar perubatan yang tidak mencukupi serta limpahan pegawai perubatan siswazah ini juga telah mengakibatkan kebanyakkan hospital latihan ini tidak dapat memberikan latihan yang optimum kepada pegawai – pegawai perubatan siswazah ini.  

Oleh itu; langkah yang diumumkan oleh ‎Kementerian ini sewajarnya tidak harus melihat kepada kemasukan pelajar ke institusi awam semata-mata. Selain mengkaji semula kebenaran yang diberikan kepada institusi – institusi swasta untuk menawarkan pengajian perubatan; pengiktirafan yang diberikan kepada universiti – universiti luar negara juga harus dikaji. Ini adalah bagi memastikan; graduan yang layak dan benar – benar berkualiti dapat dipilih untuk diserap masuk ke dalam perkhidmatan kesihatan di negara ini. 

Kesimpulannya; menghadkan pengambilan pelajar perubatan di institusi awam sahaja adalah kurang cermat jika polisi yang melibatkan institusi swasta dan luar negara serta polisi pengambilan doktor ke dalam perkhidmatan awam tidak dikaji semula.

August 20, 2014
by afifbahardin
0 comments

PERUTUSAN EID FITRI 1435H

image

Menjelang Syawal, saya mengambil kesempatan ini, mewakili keluarga dan Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang  mengucapkan Eid Fitri Mubarak kepada seluruh umat Islam. Saya berharap kita menyambut hari yang penuh bahagia ini dengan mengingati saudara-saudara kita yang berada dalam penderitaan terutamanya di Gaza, Syria, Mesir, Myanmar dan dimana jua mereka berada. Tatkala kita semua menyambut hari lebaran dengan rasa syukur dan meriah bersama keluarga dan taulan, ada di kalangan kita yang meratapi pemergian mereka yang dikasihi. Moga Allah Yang Maha Besar memberi kesabaran buat kita semua.

Eid ul Fitr, salah satu dari maknanya adalah hari di mana kita sedar dan kembali kepada fitrah, mengingatkan sesungguhnya kita dicipta sebagai makhluk yang penuh kasih sayang, bukannya kebencian. Ramadhan selama hampir sebulan itu sewajarnya memupuk nurani kita untuk menghindarkan rasa dengki, benci dan dendam. Ramadhan sebagai medan tarbiyyah ruhhiyah adalah bagi melebur dinding hitam pekat yang merosak jiwa dan qalb, serta memangkin kemurnian agar kembali dengan rasa kasih yakni fitrah kita sebagai insan mahkluk kepada Pencipta Yang Agung.

Perjuangan sepanjang bulan Ramadhan yang berlalu kini disambut dengan Eid Fitr yang bermakna kembali kepada fitrah sebagai seorang manusia yang bersih dan suci. Terdapat dalam fitrah manusia juga adalah semangat keadilan dan kebencian kepada kezaliman. Maka merayakan fitrah juga bermakna merayakan semangat keadilan dan menggilap iltizam menentang kezaliman;

“Sebaik – baik jihad adalah menyatakan kebenaran pada penguasa yang zalim”  (Riwayat Imam Ahmad)

Malangnya sepanjang Ramadhan, masih ada yang menabur kebencian, fitnah dan berharap untuk memecah belahkan sesama kita. Menuduh dan menuding menjadi amalan dan budaya. Tatkala masyarakat menginginkan jurang perbedaan dirapatkan, fitnah dan kebencian disemai rekayasa golongan pelampau yang alpa akan fitrahnya sebagai makhluk. Keangkuhan meresapi diri kerana merasa tidak terkalahkan dan ramai.

Wajarlah kita mengenang kembali kisah Perang Hunain; disaat umat Islam angkuh diri berasa gagah selepas kejayaan Fathul Makkah, mereka melangkah ke medan Hunain dengan rasa megah. Ternyata Allah Maha Kuasa – tentera Islam nyaris tewas walau mempunyai bala tentera yang lebih besar dan hebat sehinggalah keampunan Allah dikecapi.  Firman Allah di dalam Surah at Taubah, ayat 25 yang menegur dan mengingatkan umat Islam:
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”
Nyata Allah SWT menempelak sikap yang tergelincir jauh dari fitrah, iaitu gagal bersikap merendah hati dan pemurah serta mengasihani. 

Oleh kerana itu tidaklah salah menjelang sambutan Eidul Fitr, hari kemenangan menawan nafsu serta kejahatan, hari insan kembali kepada fitrah iaitu kepada kebaikan, kita bersama-sama merenung gesaan fitrah sekaligus mengangkat harakat kemuliaan insan kerana ianya meraikan persamaan dan menerima perbezaan.

Bukanlah asing terutamanya buat umat Islam untuk meraikan persamaan antara mereka yang punya keyakinan berbeza dan ras kerana pesan Al Quran untuk kita saling kenal mengenali; Li Taarafu dan Kalimatus Sawa.

Dengan semangat ini rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama boleh mencipta zaman baru, satu Renaissance bangsa Malaysia.

Akhir kata, saya dan keluarga mengucapkan salam Eid Fitr kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Malaysia. Semoga kemenangan ini menguatkan azam dan tekad kita untuk bersatu demi rakyat dan menegakkan keadilan.

Minal ‘aidin wal faidzin, maaf zahir dan batin.

Eid Mubarak

DR AFIF BIN BAHARDIN

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

ADUN Seberang Jaya

Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang

Timbalan Ketua Cabang Keadilan Permatang Pauh

1 Syawal 1435H | 28 Julai 2014

June 28, 2014
by afifbahardin
0 comments

PERUTUSAN RAMADHAN YB DR AFIF BIN BAHARDIN

image

“ياأيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون ”
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu (ibadah) puasa sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa “ { surah al-Baqarah, ayat 183)

Seiring terbenam mentari Syaaban, tibalah kini bulan Ramadhan. Bulan yang digambarkan oleh Rasulullah SAW bulan agung yang penuh keberkatan. Bulan yang terdapat di dalamnya satu hari yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan yang Allah telah jadikan berpuasa di dalamnya satu fardhu dan menghidupkan malamnya sebagai amalan sunnah. Bulan yang malamnya diperturunkan Al-Quran,  dan bulan dimenangkan Ummah menerusi peperangan Badr al-Kubra, al-Yarmuk, al-Qadisiah, al-Hattin dan lain-lain lagi.

Marilah kita rafaqkan kesyukuran kita ke hadrat Allah swt, kerana sekali lagi kita diberikan kesempatan untuk berada di dalam bulan yang penuh rahmat dan keberkatan ini. Hakikatnya Ramadhan mengajar kita untuk merasai kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh manusia lain yang kurang bernasib baik. Ramadhan mendidik jiwa kita agar menjadi lebih manusiawi dan lebih kasih sesama insan. Moga Ramadhan kali ini menjadikan kita linsan yang lebih bertaqwa. Inshallah.

وتزودوا فان خير الزاد التقوى ” “
Maksudnya: “ Sediakanlah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah sifat al-taqwa “ { Surah al-baqarah, ayat 197 )

Di kesempatan ini, Pusat Khidmat ADUN Seberang Jaya akan melibatkan diri secara aktif bersama qariah-qariah di sekitar Seberang Jaya bagi aturcara Ihya Ramadhan, samada di masjid atau surau, dan juga bersama masyarakat setempat. Moga peruntukan yang disumbangkan bakal mempergiatkan lagi program-program yang telah diatur dan merapatkan lagi ukhwah sesama kita di Seberang Jaya dan Permatang Pauh.

Oleh itu bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya mengucapkan Marhaban Ya Ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua warga Seberang Jaya dan Permatang Pauh

May 22, 2014
by afifbahardin
0 comments

UCAPAN PENGGULUNGAN PERBAHASAN RANG UNDANG – UNDANG PERBEKALAN TAHUN 2014 YB DR AFIF BIN BAHARDIN EXCO PERTANIAN & INDUSTRI ASAS TANI, PEMBANGUNAN DESA DAN KESIHATAN

DUN-Penang-300x203

 

PENDAHULUAN

Terima Kasih Yang Di Pertua Dewan;

1. Saya mengucapkan terima kasih kepada kesemua Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang terutamanya yang berkaitan dengan portfolio yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya, iaitu Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa & Kesihatan Continue Reading →