Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

February 20, 2013
by afifbahardin
0 comments

Rampasan Kampung Tanduo – Kegagalan Barisan Nasional Tepati Janji “Selamat, Aman dan Makmur”

 

Menjelang pilihan raya, dengan andaian Barisan Nasional akan tewas dalam PRU 13, propaganda ketidakstabilan dan huru – hara mula dicanang terutamanya oleh gerombolan elit pemerintah – baik yang masih berkhidmat ataupun yang telah ‘pencen’. Dalam keriuhan polemik ketidakstabilan negara ini, tidak semena – mena, negara digemparkan dengan kehadiran militia penceroboh, yang mendakwa diri mereka sebagai Tentera Di Raja Sulu, pada 9 Februari lalu apabila mereka mula menawan Kampung Tanduo di Felda Sahabat 17, Lahad Datu. Anggota kumpulan militia berketurunan Tausug dan Bajau yang lengkap bersenjatakan M16, pelancar bom tangan dan beberapa jenis senjata api lain – mula mendarat di Lahad Datu secara berperingkat dari Jolo, Basilan dan Tawi Tawi. Tuntutan mereka – jangan dikembalikan rakyat Sulu yang berada di Sabah kepada Filipina.
Continue Reading →

October 3, 2012
by afifbahardin
0 comments

Bahas di Parlimen – Amalan Westminster yang Najib Razak Takut untuk Amalkan ?

 

Pembentangan Belanjawan adalah merupakan salah satu sesi parlimen yang mendapat liputan meluas dan perhatian yang lebih dari biasa; baik dari ahli politik, penganalisa politik, ahli ekonomi, ahli akademik, ahli bisnes, pengamal media, kakitangan kerajaan, mahasiswa, pengusaha kecil, warga swasta, suri rumah bahkan seluruh rakyat yang peka akan situasi di sekelilingnya. Maka, lumrahnya sesi perbahasan Parlimen untuk satu – satu Belanjawan yang dibentangkan – sama peri pentingnya.
Continue Reading →

September 24, 2012
by afifbahardin
0 comments

Penghargaan Buat P.Ramlee Usaha Murni

image

YB Lim Guan Eng mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan agar Lapangan Terbang  Antarabangsa Pulau Pinang dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa P.Ramlee. Cadangan ini merupakan satu usaha murni dalam menghargai jasa P. Ramlee, sebagai warisan tak ternilai negeri Pulau Pinang. Selain memuliakan lagenda ini, dengan penamaan ini, ianya akan menjadi satu tarikan dan memberi nafas baru kepada perkembangan kegiatan seni dan perlancongan negeri ini.
Continue Reading →

July 22, 2012
by afifbahardin
0 comments

Lafaz ‘Janji Ditepati’ untuk janji yang mana ?

artikel ini telah diterbitkan di Malaysiakini.com

 

Ramai sedia maklum, “Janji Ditepati” menjadi platform utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam jelajah ke seluruh negara bagi melaungkan retoriktransformasi dan menjadi pentas untuk menyerang Pakatan Rakyat terutama sekali apabila “Janji Ditepati” singgah di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat iaitu, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Tika “Janji Ditepati” menjadi jenama jelajah politik Perdana Menteri, saya tiada punya masalah, tetapi apabila ia menjadi tema sambutan Kemerdekaan negara yakni “55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati” – itu masalah!

“Janji” membawa maksud pernyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu; manakala “Ditepati” pula bermaksud tidak memungkiri atau memenuhi janji yang telah dilafaz. Jika “55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati” menjadi tema sambutan Kemerdekaan negara, makanya kita harus merujuk kepada janji yang mana? Adakah janji Program Transformasi Kerajaan (GTP), atau janji manifesto Cemerlang,Gemilang,Terbilang, atau janji Wawasan 2020? Janji manakah yang telah dipenuhi dan tepati seperti dimaksudkan eksekutif hari ini?

Bagi berlaku adil baik untuk rakyat dan sang pemerintah, wajar kita menyoroti kembali latar masa sejarah, 55 tahun ke belakang iaitu tanggal 31 Ogos 1957, tarikh keramat di mana Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘Merdeka’ selepas beliau membacakan satu pemasyhuran keramat. Arakian pemasyhuran tersebut menandakan detik perubahan dalam sejarah tanahair. Beralihnya dari status sebuah negara terjajah kepada negara bangsa yang bebas dan merdeka. Maka tiada ‘janji-janji’ lain yang lebih layak untuk diangkat sebagai ‘Janji’ melainkan teks keramat – Pemasyhuran Kemerdekaan.

Ketika Pemasyhuran ini mula diperkenalkan, seluruh rakyat diminta membaca dan menghayatinya. Rakyat ketika itu rata-rata menyebut bahawa isi kandungan pemasyhuran tersebut sebagai sesuatu yang amat bernilai, sesuatu yang diibaratkan sebagai ‘sijil kelahiran’ negara merdeka. Malangnya, berbeda dengan dokumen penting negara lain seperti ‘Sumpah Pemuda 1928’ di Indonesia, pidato ‘Tryst with Destiny’ oleh Jawaharlal Nehru, Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang dikarang Thomas Jefferson; pemasyhuran negara ini telah karam hampir tidak dibaca, apatah lagi diwacanakan secara serius. Apa yang penulis paling khuatiri adalah dengan pudarnya dakwat pemasyhuran, maka semangat idealismenya juga turut terhakis.

Pemasyhuran Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 menyebut:

“Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.”

Jelas Pemasyhuran Kemerdekaan menyebut akan prinsip asas pembentukan negara bangsa Malaysia ini adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, amalan demokrasi berparlimen dengan penekanan khusus diberikan dalam menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat di negara ini terpelihara. Sekali lagi kita tertanya, apakah 55 tahun merdeka, pemerintah Umno dan BN telah berjaya memenuhi atau menjunjung prinsip asas yang termaktub ini?

Amalan demokrasi yang matang dan baik haruslah mempunyai beberapa asas yang penting seperti suruhanjaya pengendali yang bebas dari segala bentuk tekanan politik, akses kepada media yang adil dan bebas, gelanggang politik yang sama luas’ dan rata untuk semua pihak serta punya usaha yang efektif dan berterusan untuk melibatkan seluruh rakyat di dalam proses itu.

Perbezaan pendapat atau pandangan politik juga diraikan di dalam amalan demokrasi yang matang, dan lebih penting perdebatan mahupun wacana serius dan berterusan adalah penting dalam menjelaskan kebijakan atau apa jua agenda yang ingin dibawa oleh sesiapa dapat diketengahkan kepada umum dan diberikan pertimbangan sewajarnya oleh semua pihak.

Dalam amalan demokrasi di Malaysia, adalah salah apabila rakyat masih dimomokkan dengan hujah bahawa setiap lima tahun kita mengundi, membuktikan amalan demokrasi sudah terlaksana. Walhal proses demokrasi itu harus berterusan sehari-hari dan menjadi amalan kerajaan untuk melibatkan rakyat secara aktif di dalam proses itu. Lebih malang apabila amalan pilihanraya setiap lima tahun itu juga turut dinodai dengan penyelewengan dan penipuan yang melampau.

Kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya memastikan daftar pemilih dikemaskini dan bersih dari pengundi dicurigai, amalan politik wang yang membarah, ‘gelanggang’ yang tidak sama rata antara parti pemerintah dan parti pembangkang, serta kebebasan media yang disekat – sekat; menunjukkan bahawa kerajaan Umno dan BN yang telah memerintah sejak 55 tahun lepas gagal untuk menepati ‘janji’ yang dimeterai bersama Pemasyhuran Kemerdekaan yang dilafaz Tunku Abdul Rahman.

Bagaimana pula dengan janji untuk menjunjung hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat seperti yang termaktub di dalam Pemasyhuran dan juga Perlembagaan negara? Saat artikel ini ditulis, mereka yang masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting masih lagi tidak dibebaskan, bahkan dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan pun masih tidak dibuat lagi.

55 tahun merdeka, kita dihantui undang-undang drakonian seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan beberapa akta dan juga Peraturan Polis. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjuarai transformasi, retorik pemansuhan akta seperti ISA, Akta Darurat dan juga beberapa akta lain. Malangnya transformasi yang dijanjikan masih tidak terlaksana dan sekadar indah khabar dari rupa.

Dengan kesedaran ini, tatkala slogan sambutan Kemerdekaan tanah air kali ke – 55 diumum sebagai ’55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati’, tiada kata-kata yang lebih memualkan yang pernah lahir daripada Umno dan BN setakat hari ini. Retorik politik sebegini rupa; mempergunakan sambutan nasional negara, sambutan yang sepatutnya menjadi hak milik seluruh rakyat, sebagai alat untuk parti pemerintah melaungkan pujuk – rayu, bukan itu saja, bahkan dengan berani melaungkan bahawa inilah masa untuk segenap rakyat membalas budi.

Tindakan Umno dan BN mempergunakan sambutan Kemerdekaan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 sebagai alat kempen adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab, memalukan dan memualkan. Strategi terbaru Umno dan BN ini membuktikan betapa mereka terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat. Konotasi seolah-olah rakyat terhutang budi kepada Umno dan BN, maka, bagi mengenang jasa, rakyat perlulah meneruskan kesinambungan kepimpinan kerajaan di bawah Umno dan BN. Rakyat diminta untuk tidak merenung jauh dan terima sahaja bahwa janji sudah dilaksana, oleh itu teruskan saja mengundi mereka menjadi kerajaan.

Perdana Menteri hari ini masih melaungkan Transformasi. Banyak wang dibelanjakan untuk Program Transformasi Kerajaan (GTP), dengan berbagai bentuk laporan dikeluarkan. Hakikatnya rakyat sedar. Janji asas yang terkandung di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan, sehingga hari ini gagal ditepati oleh Umno dan BN.

Melihat retorik politik terbaru yang dilaungkan Umno dan BN hari ini (baca : 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati), rakyat harus faham bahawa sebenarnya ini sajalah yang termampu dilakukan oleh Umno dan BN. Kerajaan autokratik ini sudah tiada kemampuan dan iltizam untuk meneruskan atau menjuarai apa yang kita panggil perubahan. Pada mereka, semuanya sudah tepu, maka rakyat terimalah seadanya. Mana–mana suara yang menentang atau tidak senada dengan mereka, maka orang-orang ini adalah pengkhianat.

Rakyat harus jelas akan janji yang kita wajib tuntut. Rakyat perlu kembali menoleh ke masa lampau – 55 tahun lalu. Generasi pendiri negara bangsa Malaysia yang merdeka ini berdiri di atas ‘janji’ yang sama. Janji ini dibacakan pertama kalinya oleh Tunku Abdul Rahman dan diuar-uarkan ke seluruh negara. Janji yang menjadi tiang seri tertegaknya negara ini termaktub di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan dan telah dijamin Perlembagaan Persekutuan. Janji tersebut bagaimanapun mutakhir ini kelihatan jarang–jarang sekali meniti di bibir, bukan hanya di kalangan rakyat terbawah, bahkan cuba ditepis jauh–jauh oleh mereka yang telah kita amanahkan dengan kuasa dan masa depan negara kita. Selagi janji ini tidak ditepati, jangalah sesiapapun tanpa segan melaungkan bahawa tugas mereka sudah selesai. Janji ini akan terus kita tuntut, kerana saya dan anda semua tahu, janji yang ini masih lagi belum terlaksana;

“….dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta’ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

– Pemasyhuran Kemerdekaan, 31 Ogos 1957

 

June 6, 2012
by afifbahardin
0 comments

UMNO Kini Parti Gasar

artikel ini disiarkan pertama kali di Jalan Telawi.com

image

Dato’ Onn Ja’afar didalam Utusan Melayu bertarikh 25 Mac 1946 menyebut;

“ Hidup Melayu yang paling tepat kerana dengan cogan kata ini orang – orang Melayu akan memelihara semangat, maruah serta kesopanan bangsa (Melayu), kita berkehendakan tanah air dan bangsa (kita) ini terselamat dan kuat (bagi) menolak keaiban yang menyebabkan kebinasaan dan kehapusan bangsa (kita).”

Disinilah UMNO bermula – sebagai parti yang dipimpin dan dianggotai ramai pemimpin Melayu berhemah tinggi, pegawai kerajaan yang cintakan negara dan bangsanya lebih dari kepentingan materi dan pemuda – pemuda bangsa yang berjuang atas kesedaran nurani. Parti ini di awal perjuangannya adalah hasil golok – gadai segenap rakyat yang menyokong usaha untuk mengangkat darjat dan maruah bangsanya. Namun, selepas 66 tahun, UMNO tidak lagi seperti apa yang diasaskan oleh Dato’ Onn pada 11 Mei 1946.

Sejak UMNO diharamkan pada 1987, penubuhan UMNO (Baru) oleh kumpulan Tun Dr. Mahathir, terus mengubah landasan politik UMNO sehingga ke hari ini. UMNO menjadi lubuk untuk elit Melayu tertentu; berpolitik bukan lagi dengan agenda membantu rakyat dan bangsa Melayu, tetapi untuk bersaing atau bersekongkol baik samada untuk perluas empayar bisnes, meraih kontrak untuk diagih pada kroni dan keluarga atau melaung slogan Ketuanan tetapi tanpa segan kekal rasuah dan mengadai kepentingan bangsa dan negara untuk laba yang sementara. Akhirnya nikmat materi menjadi asas ideologi perjuangan UMNO, bukan lagi kesedaran jiwa untuk menjulang martabat maruah bangsa Melayu.

Seperti banyak rejim autokratik dalam sejarah, di hujung nyawa, antara simptom utama kejatuhan rejim ini adalah manipulasi aparatus kerajaan yang berleluasa dan juga menularnya amalan intimidasi dan kekerasan fizikal, dengan niat untuk mewujudkan rasa takut di kalangan rakyat dan menggambarkan seolah – olah apabila kuasa mereka terancam, kucar – kacirlah masyarakat, maka atas tiket kestabilan, dicanang pelosok negeri bahawa peralihan kuasa atau kejatuhan rejim adalah sesuatu yang buruk lagi malang.

Landasan UMNO yang kini hidup di atas amalan politik fitnah dan lucah, rasuah dan komisen melimpah ruah, akhirnya telah melahirkan generasi di dalam UMNO sendiri yang gagal untuk melihat matlamat akhir politik yang mereka perjuangkan. Apabila pemimpin yang ada di dalam UMNO memilih fitnah, adu domba bahkan kelucahan sebagai senjata politik, maka tidak hairan kebiadapan menjadi anutan orang muda UMNO, bukan lagi kemanusiaan dan kewarasan. Kebenaran tiada lagi utama, pembohongan dan fitnah diulang – ulang bukan hanya sebagai retorik tetapi diangkat sebagai hujah dan isi bidasan.

Bila akal tidak lagi mendasari tindak – tanduk, maka mereka yang di dalam UMNO ini memilih untuk menggunakan kekerasan, kononnya untuk mempertahankan apa yang mereka fikir adalah perjuangan. Walaupun politik intimidasi, sekatan dan bermacam lagi bentuk tekanan telah dikenakan kepada ‘musuh politik’ mereka, mutakhir ini, kecenderungan mereka (baca : orang UMNO) adalah melakukan ancaman dan kekerasan dalam bentuk fizikal. Ini menjadi rutin mereka sekarang ini. Rutin seolah – olah tindak – tanduk ini yang bakal memenangi kembali hati rakyat untuk menyokong mereka.

Bermula dengan serangan fizikal yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila kenderaan beliau diserang dan dirosakkan Pemuda UMNO di Sembrong, Johor beberapa bulan lalu; terbaru, seperti ramai sedia maklum, adalah serangan terhadap program Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah, menyaksikan seorang penyokong Keadilan dilempar dengan batu sehingga cedera dan ada juga yang dilempar dengan telur. Tidak lupa juga gangguan dan serangan yang serupa terpaksa dihadapi oleh pimpinan Parti Tindakan Demokratik Rakyat (DAP) di dalam program – program mereka di beberapa tempat di seluruh negara.

Pemuda UMNO, pasca Mac 2008, mengambil pendekatan lucu dan bacul dengan menganjurkan ceramah serentak di program – program anjuran Pakatan Rakyat, dengan tujuan intimidasi – menggugat keharmonian dan ketenteraman program anjuran Pakatan Rakyat. Habis diusung ‘hulubalang’ dan ‘puteri’ mereka ke merata pelusuk negeri, kononnya untuk ‘mengancam’ pimpinan Pakatan Rakyat yang ada, malangnya usaha mereka sia – sia. Maka apabila melihat intimidasi ‘psikologi’ ini gagal, mereka bertindak liar dan ganas dengan melakukan kekerasan fizikal ke atas penyokong Pakatan Rakyat dan orang awam yang tidak berdosa.

Saya menjangkakan, menjelang Pilihan Raya Umum ke – 13, tindakan gasar ini akan semakin menjadi – jadi. Sikap diam diri pimpinan UMNO, baik Presiden sehingga kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, menunjukkan betapa mereka ini bukan hanya lemah dalam memimpin rakyat, tetapi juga gagal mengawal anak buah mereka sendiri. Saat pimpinan UMNO ini melaungkan transformasi dan slogan 1 Malaysia, orang UMNO dibawah berkelakuan seperti ahli kongsi gelap (baca : samseng) yang akalnya cetek dan pendek.

Malangnya, sehingga ke hari ini, pihak berkuasa terutamanya Polis Di Raja Malaysia langsung tidak mengenakan tindakan undang  – undang yang serius ke atas pembuat kacau ini. Lebih malang, sikap PDRM ini akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat bahawa di Malaysia ini terdapat dua set pengamalan undang  – undang; yang mana satu adalah untuk mereka yang pro – pemerintah dan satu lagi untuk mereka yang tidak sebulu dengan pemerintah, dan yang lebih ditakuti jika masyarakat mula beranggapan bahawa ancaman fizikal seperti ini adalah norma dan dibenarkan oleh penguasa.

Maka jika kita meneliti kembali aspirasi yang ingin diwariskan Dato’ Onn buat bangsa ini, hari ini, UMNO gagal dan jauh terpesong. UMNO gagal untuk memelihara semangat, maruah serta kesopanan bangsa Melayu. UMNO juga gagal mempertahankan tanah air dan bangsa ini lantas menolak keaiban yang menyebabkan kebinasaan kepada bangsa ini. UMNO bukan saja gagal meneruskan kesinambungan UMNO sebagai parti bangsa yang bermaruah, sebaliknya menjadikan UMNO tak lebih dari sekelompok manusia gasar yang berpolitik.

Saat sentimen rakyat yang dahagakan Perubahan hari ini, UMNO kelihatan semakin tenggelam punca. Era dimana rakyat dinafikan haknya dan martabat kemanusiaanya sudah tiba di penghujungnya. Rakyat kini sudah sedar bahawa rakyat dan penguasa bukan lagi hubungan mentimun – durian. Rakyat sekarang sudah sedar bahawa kesetiaan mereka bersyarat, ‘derhaka’ mereka bersebab.

Hala tuju UMNO tidak lagi sehaluan dengan aspirasi Dato’ Onn. Aspirasi Dato’ Onn selari dengan seruan Allah swt di dalam Surah Al –Ra’d ayat 11;

“….. sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri….. “

Dato’ Onn di dalam Straits Times bertarikh 28 Jun 1955, menyatakan bahawa;

“To be independent is not merely to be free from rule by any nation or power. A country must first be able to stand on its own feet to do things by itself and manage its own affairs in an orderly and efficient manner.”

Dari kenyataan ini, dapat dilihat bahwa Dato’ Onn memilih landasan seperti mana yang disebut Dato’ Dr Siddiq Fadzil di dalam buku terbaru beliau; Islam dan Melayu bahwa perjuangan merubah nasib sesuatu bangsa itu harus bermula dengan taghyir al – nufus; merubah jiwa dan minda bangsa.

UMNO hari ini bukanlah lagi wadah untuk mengangkat ketamadunan bangsa ini. UMNO tidak mampu lagi untuk mengeluarkan bangsa ini daripada kegelapan kepada cahaya. UMNO akhirnya tunduk kepada pujuk – rayu kemewahan yang melalaikan, bergelumang dengan rasuah dan komisen, yang akhirnya mengelincirkan mereka daripada landasan sebagai sebuah parti yang menjulang martabat bangsa. UMNO menjadi parti yang gasar, bacul dan lemah ideologinya. Sudah tiba masanya bangsa ini mengorak langkah kehadapan, membina Malaysia yang lebih baik, dengan menolak secara total parti gasar bernama United Malays National Organization (UMNO) pada pilihan raya umum akan datang.