Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

November 12, 2010
by afifbahardin
0 comments

Jangan sokong membawa rebah

“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali, kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

QS. al-Hujurat (49) : 9

Saya ingin melahirkan rasa sedih dan kecewa melihat keadaan suasana Pemilihan Parti kali ini. Amatlah mengecewakan apabila kekalutan dan keresahan ini hadir di saat kita semakin menghampiri satu pertarungan besar iaitu Pilihan Raya Umum ke 13.

Saya menyeru agar kita semua ahli dan aktivis Parti untuk kembali fokus dan melihat agenda yang lebih besar yakni melakukan Reformasi untuk negara kita Malaysia. Perjuangan kita yang telah dimangkinkan dengan episod kezaliman ke atas Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan komrade-komrade Reformasi yang saban minggu ditangkap dan dipukul FRU, janganlah dibiar hanyut dek kerana permainan politik dua tiga kerat pemimpin Parti yang hakikatnya telah diangkat kita semua untuk memimpin.

Di saat Parti kita diserang begitu hebat, kenapa mudah kita menurut rentak emosi yang selalunya tidak rasional. Janganlah Parti yang telah kita bina selama lebih 11 tahun ini tergadai hanya kerana perebutan kuasa dua tiga kerat pemimpin. Begitu lama kita berjuang mempertahankan Datuk Seri Ketua Umum, dengan azab yang beliau sendiri lalui tidaklah tertanggung oleh sembarangan manusia, janganlah dibiar akhirnya menjadi sia-sia.

Parti kita memerlukan pemimpin yang punya gagasan. Sejasad pemimpin hebat walau macam mana pun akan temui ajal jua, tetapi yang kekal diwariskan kepada generasi akan datang adalah gagasan. Gagasan yang mampu merubah sistem dan kehidupan masyarakat supaya menjadi lebih baik. Maka pemimpin seperti ini yang perlu kita angkat. Bukannya pemimpin yang berdiri atas kepentingan individu semata-mata, dan sanggup melanggar segala tatasusila politik demi memenuhi nafsu politik masing-masing.

Kita perlu kembali kepada fitrah perjuangan Reformasi yang telah kita juangkan selama ini. Kita berasal dari berbagai latar dan rencam, tidak berjawatan tidak berkedudukan, tiada pangkat mahupun gelaran, sejarah menjadi saksi; atas kesedaran bersama – Menentang Kezaliman dan Menegakkan Keadilan – kita sahut laungan Reformasi yang dilaung Datuk Seri Ketua Umum 12 tahun lalu kerana kita percaya bahawa ada Malaysia yang lebih baik untuk kita wariskan pada anak-anak kita.

Reformasi!

Posted with WordPress for BlackBerry.

October 11, 2010
by afifbahardin
0 comments

GENERASI REFORMASI – Siapa yang harus jadi Ketua AMK; Rafizi Ramli, Hasmi Hashim atau Chegubard?

Reformasi 1998, baik di Malaysia, mahupun setahun sebelumnya di Indonesia, telah digerakkan oleh satu golongan atau generasi yang kita panggil anak muda, belia mahupun pemuda bangsa. Di Malaysia, anak muda, tanpa kira latar pendidikan, bangsa, agama mahupun pekerjaan, telah bersama menyahut panggilan dan seruan untuk menjulang perjuangan Reformasi yang telah dimangkinkan oleh peristiwa pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Berduyun-duyun anak muda turun ke jalanan berdemonstrasi dan menyatakan ketidakpuasan hati mereka. Hakikatnya atas prinsip asas yang sama – menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.

Di tika itu lahir orator-orator hebat di kalangan anak muda. Yang paling diagungkan dan menjadi idola anak muda Reformasi ketika itu adalah – YB Senator Ezam Mohd Nor. Dengan pidato yang keras, dan jitu, dikendong dengan enam kotak (yang konon berisi fail – fail sulit Menteri yang melakukan penyelewengan) ke hulu ke hilir, siapa tidak kenal Ezam dan teman – teman seperti Lokman Nor Adam, Zahid Mat Arip dan ramai lagi. Gelanggang ceramah sentiasa penuh apabila anak-anak muda ini berucap, tidak kira dimana atau apa jua keadaan cuaca. Pita video ceramah dan yang paling popular ketika itu adalah kaset-kaset ceramah menjadi begitu laris. Pemimpin-pemimpin muda ini akhirnya menjadi pemimpin di dalam Pemuda Parti Keadilan Nasional yang ditubuhkan pasca Reformasi 1998. Ezam sebagai Ketua Pemuda, telah menggerakkan anak muda dengan retorika menentang rasuah, kezaliman dan penyelewengan Umno dan Barisan Nasional.

Siapa tidak ingat akan Jelajah Sumpah Keramat yang dilakukan Ezam dan rakan-rakan. Kotak dikendong, laungan dipekik, sumpah dilafaz. Begitulah gerakan anak muda Reformasi 1998. Matlamatnya adalah untuk mendedahkan kepincangan dan kezaliman Umno – Barisan Nasional. Saya harus memberi kredit kepada pimpinan awal Pemuda Keadilan ini bahawa mereka telah berjaya. Rakyat semua sedar dan faham bahawa rasuah dan penyelewangan menjadi permainan biasa Umno-Barisan Nasional. Namun zaman dan era itu telah berakhir. Ezam juga sudah kembali ke pangkuan Umno dan kini bergelar Senator. Lokman Nor Adam juga telah dipilih semula sebagai Exco Pemuda Umno. Ramai lagi yang telah kembali ke Umno. Mereka ini yang satu masa dulu bersumpah keramat, berdiri teguh di belakang kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini menjadi ‘tentera-tentera upahan’ terkehadapan dalam menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti KeADILan Rakyat.

Tersungkur akhirnya anak – anak muda hebat ini dalam perjuangan mereka menentang kezaliman dan menegakkan keadilan. Kerana sudahnya dapat kita lihat bahawa inti perjuangan mereka ini tidaklah pernah kepada nilai atau erti perjuangan itu tetapi lebih atas kepentingan peribadi dan cita – cita politik mereka. Struktur Parti dan Pemuda Keadilan hancur musnah diperlaku mereka ini kerana akhirnya yang mereka ingin bawa adalah diri mereka sendiri, tidak pernah agenda besar Reformasi itu. Apa yang mereka promosikan adalah ketaksuban personaliti – men’dewa’kan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjulang nama seperti Ezam, tetapi tidak pernah sungguh usaha mengenengahkan idea dan intipati Reformasi itu. Akhirnya apabila merasakan diri mereka tidak lagi mampu menahan asakan dan pelawaan yang tiba, perjuangan sebenar Reformasi ditinggalkan.

Kini sudah 12 tahun berlalu, perjuangan Reformasi bangsa Malaysia masih lagi mekar dan mula menunjukkan hasilnya. Keputusan Pilihan Raya Mac 2008 membuktikan segala-galanya. Betapa Reformasi bangsa ini tidak pernah padam. Penghargaan harus diberikan kepada anak muda yang berada di Saluran 3 ketika Pilihan Raya lepas yang telah menggunakan kuasa mengundi mereka dengan memberikan kepercayaan kepada gabungan parti alternatif – PKR, DAP dan PAS – untuk membentuk kerajaan negeri di Selangor, Perak, Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang serta menafikan majoriti dua pertiga Umno-Barisan Nasional di Parlimen. Sekali lagi sejarah menyaksikan peranan yang dimainkan oleh anak muda. Fakta, kebanyakkan mereka ini yang berada di Saluran 3 adalah anak – anak yang masih lagi di bangku sekolah atau baru ingin memasuki menara gading tatkala Reformasi 1998 meletus. Mereka inilah Generasi Reformasi. Mereka ini yang 12 tahun lepas tidak punya kuasa mengundi dan masih tidak ‘bebas’ menyatakan pendirian politik mereka ketika itu.

Pemuda Keadilan pimpinan Ezam dulu juga sudah mengalami perubahan besar dari segi rupa dan pimpinan. Dengan Saudara Shamsul Iskandar Muhammad Akin selaku ketua, Pemuda Keadilan kini dikenali sebagai Angkatan Muda Keadilan (AMK). Saudara Shamsul juga dengan jayanya telah berjaya, merapatkan pimpinan muda Keadilan yang ditinggalkan lompong oleh Ezam dan rakan – rakan dan juga memimpin Angkatan Muda mengharungi Pilihan Raya Umum ke 12 yang penuh bersejarah. Usaha dan dedikasi Saudara Shamsul amat disanjung. Namun seperti kata orang, memenangi sesuatu itu sukar, tetapi mengurus kemenangan itu adalah jauh lebih sukar. Saya berani katakan bahawa, kelibat beberapa pimpinan muda Keadilan pasca Mac 2008, yang mula hidung tinggi dan berebut mencari kontrak sana – sini amatlah mengecewakan. Idealisma perjuangan terus ditinggalkan. Selain itu kegagalan PKR menjuarai perlumbaan mendaftarkan pengundi baru juga amat meresahkan. Kita juga tidak dapat mendaftarkan lebih ramai ahli baru parti yang berkualiti sepanjang dua tahun pasca Mac 2008. Peluang yang terbentang gagal dimanfaatkan. Kegagalan ini bukan kegagalan Saudara Shamsul seorang, tetapi kegagalan kita bersama yang berada di dalam AMK kerana gagal merebut kesempatan ini. Kelemahan struktur kepimpinan dan kekalutan organisasi menjadi punca kegagalan ini. Menilai kepada sumbangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Saudara Shamsul, sudah tiba masanya teraju kepimpinan AMK diambil alih oleh pemimpin baru, dengan tujuan memberi nafas baru kepada hala tuju perjuangan AMK, bukan dengan niat untuk menyingkirkan. Kekuatan dan kualiti yang dimiliki oleh Saudara Shamsul dari pengamatan saya amat diperlukan di dalam pimpinan tertinggi parti (baca : Naib Presiden) dengan berfungsi sebagai jambatan yang bakal menghubungkan pimpinan parti dengan AMK.

Bergerak dari situ, Pemilihan PKR 2010 ini adalah gelanggang terbaik untuk kita merangka satu peralihan kepimpinan di dalam AMK. Sehingga ke hari ini, sudah ada tiga calon utama menawarkan diri untuk bertanding; Saudara Badrul Hisham (lebih dikenali sebagai Chegubard), ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR; Saudara Rafizi Ramli, Pengarah Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor dan akhir sekali Saudara Hasmi Hashim, Ketua Cabang PKR Parit Sulong yang juga merupakan seorang budayawan dan penulis berbakat yang popular di kalangan graduan Sekolah Politik Institut Kajian Dasar dan juga Komunite Jalan Telawi. Pemilihan cabang yang berlangsung sepanjang bulan September sehingga ke hari ini menyaksikan ketiga – tiga calon ini telah mendapat pencalonan yang cukup untuk bertanding sebagai Ketua AMK. Rafizi dengan barisan beliau yang terdiri daripada YB – YB muda dari PKR, YB Amirrudin Sari (ADUN Batu Caves), YB Sim Tze Tzin (ADUN Pantai Jerejak) dan YB Kesavan, mengelar diri mereka sebagai Generasi Reformasi, telah heboh diwar-warkan sebagai barisan yang mendapat ‘restu’ Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Manakala Chegubard pula merasakan pemilihan kali ini merupakan saat dimana beliau harus di’tabal’kan sebagai Ketua AMK kerana pada pemilihan tiga tahun lepas, dikhabarkan Chegubard telah ‘memberi laluan’ kepada Shamsul Iskandar untuk bertanding dan menewaskan Hasmi Hashim. Manakala Hasmi pula melihat ini saat terbaik untuk beliau menawarkan kepimpinan beliau untuk dimanfaatkan setelah tewas kepada Shamsul pada pemilihan lepas. Namun saya percaya, jauh di sudut hati setiap calon ini, mereka menawarkan diri untuk bertanding hanyalah kerana mereka rasa terpanggil untuk menerajui kepimpinan AMK demi melakukan satu islah yang sungguh – sungguh bukan hanya di dalam AMK, tetapi mampu untuk diterjemah ke peringkat yang lebih tinggi yakni rakyat.

Plato, filasuf besar Yunani, pernah mengambarkan ciri-ciri kualiti pemimpin yang perlu dimiliki demi menjamin kelangsungan dan keberkesanan perlaksanaan demokrasi yang matlamat akhirnya adalah kesejahteraan dan keadilan. Plato menukilkan di dalam Republic pada buku VI, dengan metafora, bahawa, “… seorang nakhoda sejati mestilah fasih dan faham akan perubahan musim, keadaan di syurga, pergerakan bintang – bintang, laluan angin dan segala ilmu yang perlu jika ingin benar – benar mengemudi sebuah bahtera” (Republic, 6.488d). Plato mengangkat nilai seorang pemimpin itu hendaklah seorang ahli falsafah, yang didefinasikan oleh Plato sebagai pencinta ilmu dan jika pemimpin itu masih lagi bukan seorang yang faham akan falsafah, maka perlulah dididik pemimpin itu dengan falsafah. Plato percaya hanya pemimpin yang berilmu, cerah, faham akan falsafah dan baik kepada mereka yang dipimpin, barulah kesejahteraan dan keadilan sosial dapat dicapai.

Mengambil pendekatan yang diberikan oleh Plato ini, jelas gagasan Plato adalah selari dengan ciri – ciri pemimpin yang dituntut Islam seperti yang diterangkan dalam firman Allah s.w.t;

“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu berlaku adil”

-Surah An-Nisa’, ayat 58-

Sedari itu, memilih pemimpin bukanlah satu tugas mudah. Hendaklah benar – benar ditimbang akan kualiti kepimpinan dan ilmu yang dimilikinya. Pemimpin itu hendaklah tinggi akal dan pekertinya, sanggup berkorban demi mereka yang dipimpin, kata – katanya bernas dan tindakannya mendatangkan sejahtera kepada orang bawahan.
Bergerak di atas keterangan ini, dalam situasi politik semasa, AMK perlu sedar bahawa kita berada di dalam fasa berbeza. Pendekatan kita harus berbeza daripada corak pendekatan kita 12 tahun lepas. Tanpa meninggalkan stail pergerakan ini yang terkehadapan dalam isu-isu menentang kebobrokan dan kezaliman Umno – Barisan Nasional, sudah tiba masanya untuk kita menjadikan AMK sebagai wadah yang benar-benar ampuh untuk membela nasib rakyat – bukan hanya menjadi sebuah organisasi kebajikan semata-mata – AMK perlu bertindak sebagai satu gerakan yang sekarang ini mampu untuk mengeluarkan cadangan dan idea untuk sama – sama membantu Pakatan Rakyat mentadbir negeri-negeri yang diperintah. Perlu ada keyakinan di kalangan pimpinan AMK untuk bersama – sama dengan sayap Pemuda PAS dan DAP untuk menghasilkan satu manifesto atau testamen dalam bentuk cadangan polisi, idea dan juga tuntutan mendepani isu-isu belia dan anak muda Malaysia. AMK sendiri perlu mewujudkan kumpulan pemikir yang mampu untuk melaksanakan amanah ini.

Dengan lebih 4.6 juta pengundi muda di seluruh negara, tidak cukup kita hanya menunjuk gagah di hadapan penguasa, berbangga dengan sejarah kita bermalam di lokap atau berapa kali kita turun berdemonstrasi, ini semua adalah politik Reformasi 12 tahun lepas. Kini, pengundi – pengundi muda sudah sedar dan faham akan kezaliman Umno-Barisan Nasional, apa yang mereka ingin tahu sekarang adalah apakah alternatif yang mereka ada selain Umno-Barisan Nasional? Dimanakah Pakatan Rakyat lebih baik daripada Umno-Barisan Nasional? Parti mana yang benar-benar dapat mewakili aspirasi anak muda Malaysia? Adakah parti itu mampu memperjuangkan isu – isu yang bersangkutan dengan anak muda? Ini adalah persoalan – persoalan yang harus dijawab dan cabaran – cabaran yang harus digalas oleh Ketua AMK yang bakal kita pilih dalam Pemilihan PKR 2010.

Sejarah telah menunjukkan, setiap kali pemimpin dipilih atas sebab individu, atas dasar personaliti atau retorik mahupun populariti semata – mata, kepimpinan dan perjuangan itu bakal berhadapan dengan masalah besar. Ketaksuban terhadap individu tidak harus menjadi asas memilih pemimpin. Memang wujud kecenderungan ahli politik untuk mencipta personality cult terhadap dirinya, membina sekelompok golongan yang taat setia tanpa usul periksa kepada dirinya dan menukarkan ini sebagai satu “pameran kekuatan”. Namun acap kali, budaya politik ini membawa kepada kegilaan melampau yang akhirnya menuju ke lembah pengkhianatan. Asas kesetiaan yang tidak berpaksi pada sesuatu gagasan mahupun idealisma akhirnya membunuh apa yang kononnya dipanggil perjuangan. Bukti jelas adalah YB Ezam yang kini ‘termakan sumpah’, kerana idealisma perjuangannya bukanlah pada gagasan demokrasi dan keadilan untuk semua yang dibawa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi lebih kepada ketaksubannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang berkarisma dan hebat berpidato semata – mata.

Saya mengharapkan, dengan kematangan yang ditunjukkan oleh ahli PKR dalam menjayakan demokrasi terus dalam Pemilihan PKR 2010, asas untuk memilih Ketua AMK yang seterusnya hendaklah diletakkan pada penilaian terhadap gagasan politik yang dibawa oleh setiap calon bertanding. Hendaklah pemimpin yang bakal dipilih ini mampu mengenal pasti masalah anak muda dan mampu untuk dibawa bermusyarawah. Janganlah kerana calon itu pernah ditahan polis, selalu melakukan laporan polis dan SPRM ataupun popular kerana selalu berada di pentas – pentas ceramah, lalu terus kita memberikan undi sebagai ahli AMK. Kita harus rasional. Bagaimanakah ‘rupa’ Ketua AMK yang ingin kita tawarkan kepada rakyat untuk kita menghadapi PRU 13 nanti? Cukupkah sekadar menghantar calon yang hanya petah berkata – kata tetapi langsung tidak punya sebaramg gagasan yang bernas dan praktikal untuk rakyat? Tidakkah kita inginkan seorang Ketua AMK yang bila tiba ketikanya, (baca : membentuk kerajaan Persekutuan) adalah calon terbaik dari kalangan anak muda PKR sebagai calon Menteri di dalam cabinet Pakatan Rakyat? Seorang pemimpin yang bukan hanya bisa menjadi pemimpin kepada AMK sahaja, tetapi mampu diketengahkan sebagai pemimpin rakyat yang bakal menerajui kepimpinan PKR dan Malaysia kelak. Ini adalah calon Ketua AMK yang wajib kita pilih dalam Pemilihan PKR 2010.

Akhir kata, sudah tiba masanya kita menghentikan penilaian memilih pemimpin atas dasar ketaksuban individu semata – mata. Sejarah telah mendidik kita akan akibatnya. Sudah tiba masa dalam kita memilih ketua AMK, gagasan dan prinsip perjuangan yang menjadi kayu pengukur untuk kita memberikan undi yang sangat berharga itu. Bakal Ketua AMK yang bakal dipilih nanti, demi menghasilkan satu barisan kepimpinan yang jitu dalam kita menuju ke Putraya, Ketua AMK itu haruslah seorang yang – besar jiwanya, intelektual, teruji kesetiaannya dan mampu mengangkat gagasan besar demokrasi dan keadilan ke satu tahap yang memberangsangkan.

Posted with WordPress for BlackBerry.

September 28, 2010
by afifbahardin
0 comments

Kekalutan yang perlu

Heboh hari ini apabila akhbar-akhbar memaparkan bahawa pemilihan PKR 2010 penuh dengan rencam kekalutan dan kekacauan. Digambarkan seolah-olah keadaan tidak tenteram. Berantakan! Timbalan Perdana Menteri tanpa lengah cuba untuk memungut political mileage dengan menghamburkan kenyataan dangkal bahwa jika PKR berkuasa, kekalutan, kekacauan dan ketidaktenteraman akan berlaku dalam negara. Ramailah editor dan jurnalis akhbar menyahut salakan ini dengan mengapi-apikan lagi bahawa bentuk demokrasi baru yang diperkenalkan PKR ini senjata yang bakal membunuh parti ini.

Hakikatnya, latah pemimpin Umno dan Barisan Nasional, beserta juak-juak mereka dalam media massa, memperlihatkan bahwa mereka sedar bahawa bentuk baru demokrasi  yang diperkenalkan PKR ini bakal mencabar status quo sosiopolitik masyarakat Malaysia. Mereka ini cuba memainkan isu kononnya terdapat unsur kawalan ‘pihak atasan’ dalam pemilihan PKR ini, tetapi secara asasnya tidak mungkin berlaku kerana akhirnya yang akan menentukan siapa pemenang dan siapa tewas adalah setiap individu ahli yang mengundi. Buktinya mudah apabila kita lihat ada calon-calon yang dikatakan rapat dengan pimpinan atasan  mampu jua ditewaskan di cabang-cabang. Pemilihan PKR kali ini membuktikan bahawa tidak ada siapa pun yang mampu mengawal proses demokrasi yang berlangsung, selagi mana ianya mengikut etika dan adab bertanding dalam pemilihan dan menjulang nilai kebebasan dan demokrasi yang sebenar.

Saya mengharapkan dengan pemilihan PKR 2010 ini, ianya bakal menjadi apa yang kita panggil Deklarasi Hak Individu dan Warga (Déclaration des droits de l’Homme et du Citoyen) yang menjadi dokumen asas kepada Revolusi Perancis pada tahun 1789. Dokumen ini yang telah menjadi asas kepada terbentuknya perlembagaan Perancis, telah mengambil kira konteks teori kontrak sosial yang diperkenalkan filasuf Inggeris, John Locke dan diterjemahkan oleh Jean-Jacques Rousseau pada zaman Pencerahan, konsep pembahagian kuasa yang diadaptasi oleh Baron de Montesquieu; satu teks yang dilihat berteras kepada undang-undang universal dan hak asasi sebagai warga. Hak-hak ini merangkumi hak kepada pemilikan harta, kebebasan dan kehidupan. Dan melalui dokumen ini kita dapat lihat bahawa tugas kerajaan adalah untuk menjunjung dan memelihara hak-hak ini.

Amatlah besar harapan saya untuk melihat bahawa pemilihan PKR 2010 ini menjadi asas kepada reformasi sistem demokrasi yang wujud di negara ini. Moga rakyat dapat melihat sisi sebenar demokrasi yang perlu untuk kita sama-sama membina satu bangsa Malaysia yang bertamadun, berdiri di atas prinsip hak kebebasan individu, kerajaan terhad, pasaran bebas dan kedaulatan undang-undang.

September 8, 2010
by afifbahardin
0 comments

Pulang

Semakin hari semakin jauh,
Merantau demi panggilan,
Di negeri banyak sauh,
Terdampar banyak di pangkalan,

Berkorban aku tiada balas,
Demi mencari sesuap nasi,
Dengan harapan yang digalas,
Amanah dilaksana penuh dedikasi,

Seorang aku mengharungi,
Mencari makna erti hidup,
Dengan pengalaman diri,
Dengan tekad hati degup,

Di lebaran ini aku kembali,
Bak belut pulang ke lumpur,
Kembali ke asal diri,
Dengan perasaan yang berbaur,

Tiada lagi seperti dulu,
Tiada apa yang sama,
Hati yang bersalut pilu,
Luka berdarah lama-lama,

Tiada lain yang aku harap,
Agar luka henti berdarah,
Mencari sinar boleh kugarap,
Sebelum hati lebih parah.

Posted with WordPress for BlackBerry.

September 7, 2010
by admin
0 comments

Zaid-Ghafar-Ibrahim-Baba

Tidaklah pernah saya menganggap sesiapa yang keluar Umno dan memilih menyertai pembangkang itu seorang wira mahupun pemimpin agung yang perlu dijulang-julang. Kerna resminya lagi tinggi dijulang maka lagi mudahlah jatuhnya. Saya lebih gemar menggelar mereka yang telah keluar Umno ini sebagai orang yang sudah insaf. Akan tetapi taubatnya taklah kita ketahui lagi.

Taubat yang saya maksudkan adalah meninggalkan budaya politik Umno terus. Jika dilihat ada ramai tokoh yang telah meninggalkan Umno tetapi belum tentu mereka bertaubat. Anwar Ibrahim dipaksa ‘insaf’ (baca:tinggalkan) Umno dan sekarang ini dilihat sudah ber’taubat’ dengan membawa agenda politik baru utk PKR dan Pakatan Rakyat. Mahathir juga meninggalkan Umno tetapi seperti sedia maklum dia tetap dengan agenda perkauman sempit ‘ultra’ Melayu, sehingga dia sanggup untuk hadir pada program Perkasa demi menuruskan survival politik beliau. Maka adakah Zaid Ibrahim telah benar-benar ‘insaf’ dan bertaubat? Biar masa menentukannya.

Saya tiada masalah peribadi dengan Zaid. Tiada cemburu, benci mahupun dendam. Saya anggap Zaid pemimpin yang berprinsip. Namun hasil pendedahan temuramah beliau di dalam Malaysiakini, langkah politik beliau yang ini penuh dengan negativiti. Apa tujuan beliau menjadikan Allahyarham Tun Ghafar Baba sebagai pengganti diri? Mengapa mengambil kira sejarah pemilihan Umno sebagai kayu ukuran? Walhal pemilihan PKR kali ini adalah julung kalinya pemilihan yang mengamalkan demokrasi terus di mana setiap ahli akar umbi bisa memilih.

Seharusnya Zaid Ibrahim, yang menganggap dirinya dijulang sebagai wira harus menjadi anak jantan mencabar mana-mana calon yang ingin merebut jawatan Timbalan Presiden parti untuk berdebat mengenai polisi, misi dan aspirasi anda untuk Parti, rakyat dan Negara. Gunakan duit yang ada untuk anjur. Majlis Debat Presidential, bukannya jamuan terbuka hari Raya. Jika benar ingin menjadi jaguh isu demokrasi, proses Debat ini sebagai sebahagian dari proses demokrasi harus diangkat Zaid sebagai satu tuntutan. Bukannya tunduk kepada godaan politik simpati syahdu yang mengkhayalkan.

Saya berharap selepas ini hentikanlah sebarang bentuk kempen negatif yang dirancang kerana akhirnya yang terjejas imej Parti dan keyakinan rakyat kepada kita makin terhakis.

Fikir-fikirkanlah andai anda benar-benar pemimpin berjiwa besar yang telah Insaf dan Taubat.

Posted with WordPress for BlackBerry.