Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

Debat Presidential Parti KeADILan Rakyat

| 1 Comment

Parti KeADILan Rakyat (PKR), satu parti politik yang berjuang sejak lebih 10 tahun lepas merupakan antara parti politik muda dalam sejarah panjang politik moden Malaysia. Namun walaupun masih muda berbanding banyak parti politik lain yang wujud sejak merdeka, PKR telah menzahirkan satu bentuk kematangan yang membanggakan apabila PKR memilih untuk meminda perlembagaan parti pada tahun 2009 bagi membolehkan setiap ahli berdaftar mengundi bagi memilih 25 pemimpin pusat termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Angkatan Muda KeADILan dan jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat. Dengan kiraan terbaru yang mencatatkan PKR memiliki ahli berdaftar seramai 400,000 orang di seluruh negara, rakyat bakal menyaksikan satu sejarah agung dicipta dalam sejarah politik tanah air. Pengundian secara terus ini dilihat mampu mengubah corak budaya politik Malaysia yang mana dapat mematangkan amalan demokrasi di negara ini.

Atas kesedaran ini, sebagai sebuah parti politik yang bergerak dalam ruang demokrasi, satu metodologi harus difikirkan dalam memastikan penglibatan yang memberangsangkan di kalangan semua ahli parti dari seluruh negara. Kira-kiranya mudah; lebih tinggi jumlah ahli yang membuang undi, maka lebih tinggi legitimasi kepimpinan calon yang bakal menang itu. Maka dalam memenuhi tuntutan atau ekspektasi rakyat terhadap parti kita, saya melihat satu Debat Presidential mampu menangani beberapa perkara asas dalam usaha kita membawa gagasan Reformasi kepada rakyat dalam membentuk Malaysia Baru.

Apa itu Debat Presidential ?

Debat Presidential adalah satu budaya kemestian untuk Pilihan Raya Presiden di Amerika Syarikat. Atas nama demokrasi dan kebebasan bersuara, Debat Presidential dilangsungkan di universiti – universiti kebiasaannya dimana mendapat liputan secara langsung untuk pengundi di Amerika. Catatan rating menunjukkan bahawa siaran langsung Debat Presidential ini ditonton lebih 50 juta pengundi dimana hampir mencecah kepada 50% daripada jumlah mereka yang layak mengundi.

Maka ciri-ciri penting Debat Presidential ini adalah; sedianya satu pentas terbuka sebagai gelanggang debat yang bakal berlangsung. Diatas pentas, calon – calon yang bakal bertanding akan berpidato sebagai sebahagian daripada usaha kempen mereka. Manifesto, gagasan dan ide bakal dilontarkan calon – calon untuk menunjukkan kepada setiap pengundi akan kredibiliti dan kualiti kepimpinan yang calon – calon mampu tawarkan.

Mengapa Debat Presidential ?

Seperti yang sedia maklum, PKR memiliki lebih 400,000 ahli berdaftar di seluruh negara. Maka yang menjadi perkara paling utama adalah untuk memastikan semua ahli menerima maklumat yang ingin disampaikan dan dilengkapkan dengan segala ilmu dan informasi yang diperlukan sebelum membuang undi, sejajar dengan prinsip demokrasi itu sendiri. Oleh itu dalam koordinasi untuk maklumat sampai kepada setiap 400,000 ahli, satu program atau platform yang berkesan harus disediakan jawantankuasa pemilihan parti untuk memastikan setiap calon yang bakal bertanding dapat bersaing dan berkempen di atas ‘padang’ yang sama rata. Maka Debat Presidential ini dilihat sebagai satu usaha yang mampu untuk memberi liputan yang lebih meluas kepada setiap ahli untuk mengenali dan mengukur kemampuan setiap calon.

Debat Presidential juga menjadi gelanggang kepada calon untuk bersaing secara sihat dan dilihat sebagai satu langkah progresif yang melambangkan tahap kematangan politik yang tinggi di dalam PKR. PKR bakal menjadi perintis kepada satu bentuk politik baru yang lebih terbuka, sihat, kredibel dan demokratik.

Bagaimana Debat Presidential harus berlangsung ?

Saya tidak mengharapkan agar semua jawatan yang dipertandingkan harus punya Debat Presidential. Saya merasakan jawatan yang perlu akan Debat Presidential hanyalah buat calon – calon yang ingin bertanding bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Wanita dan juga Ketua Angkatan Muda KeADILan. Jawatan-jawatan yang disebut ini dilihat sebagai di antara ‘kerusi panas’ setiap kali pemilihan dalam apa jua parti politik selama ini. Selain itu jawatan-jawatan yang disebut ini tadi adalah mereka yang bakal menjadi ‘panglima terbaik’ yang akan kita persembahkan kepada rakyat dalam kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 yang bakal menjelang. Maka secara tidak langsung, Debat Presidential ini menjadi asas untuk kita menapis dan memilih ‘panglima’ kita yang benar-benar mampu mengemudi jentera parti bersama-sama Pakatan Rakyat untuk kita menghadapi serangan dan tentangan Umno – Barisan Nasional yang hari ini kita lihat sebagai satu gabungan politik yang tidak mampu lagi bekerjasama dan sudah tidak kenal lagi makna kewarasan berpolitik sebagai sebuah masyarakat yang bertamadun dan bertatasusila.

Maka bilakah waktu yang wajar dan sesuai untuk kita menganjurkan Debat Presidential? Saya melihat ianya wajar dan tepat sekali untuk dilangsungkan dalam tempoh periode selepas pencalonan dari cabang –cabang dan sebelum hari pengundian. Sebaiknya debat ini dilakukan secara bersiri dan bukannya tunggal. Rasionalnya adalah supaya ahli (baca : pengundi) dapat menilai sejauh mana kemampuan calon yang ingin bertanding untuk jawatan-jawatan yang bakal dipertandingkan dan juga calon – calon mempunyai peluang yang lebih besar untuk menyinar di dalam salah satu daripada siri – siri debat itu. Saya mencadangkan agar Debat Presidential bersiri ini dilakukan di tiga venue utama; Pembukaan di Pulau Pinang; Pertengahan di Kota Kinabalu, Sabah dan Penutup di Shah Alam, Selangor.

Saya juga mencadangkan agar format debat yang ingin dijalankan mengikut beberapa tatasusila tertentu. Pertamanya kita memerlukan setiap calon yang bertanding untuk wajib berdebat, sekurang-kurangnya dua siri daripada tiga siri yang direncana. Setiap debat memerlukan seorang moderator; yang bertugas untuk mengemukakan soalan lisan kepada semua calon dan selain itu untuk mengawal aturan debat dan kesinambungan debat yang baik. Bagi setiap siri debat, diharapkan pihak penganjur dapat menyediakan topik yang ingin diperdebatkan lebih awal dari hari perdebatan, merangkumi aspek; ekonomi, sosial, pendidikan dan demokrasi. Selain itu, saya mencadangkan supaya setiap calon diberikan ruang selama 15 minit seorang untuk berpidato, serta penghujahan dan soal balas harus dibuka untuk setiap calon selama 5 minit. Saya berkira-kira, untuk satu-satu sesi debat, 45 minit ke dua jam diperlukan untuk melengkapkan satu pusingan debat.

Selain itu untuk kita menambah keberkesanan capaian program Debat Presidential ini, peranan TV Selangor amatlah ditagih. TV Selangor berperanan untuk menyiarkan Debat Presidential ini secara langsung selama tiga siri di Pulau Pinang, Sabah dan Selangor untuk ditonton oleh semua ahli dari serata pelusuk negara. Selain itu, video debat ini harus dipaparkan di dalam laman web YouTube bagi kemudahan ahli untuk mengulang tonton dan memberi peluang untuk ahli yang tidak berkesempatan untuk menonton siaran secara langsung kelolaan TV Selangor. Namun usaha ini tidak harus berhenti di situ. Bagi ahli yang memiliki kesukaran atau berada di luar lingkungan jaringan internet, VCD atau DVD debat-debat ini wajib diedarkan ke setiap cabang di seluruh Malaysia; sekurang – kurangnya satu set 3-siri Debat Presidential untuk setiap cabang. Kemudiannya ianya menjadi tanggungjawab setiap cabang untuk menganjurkan satu tayangan umum kepada setiap ahli untuk ketiga-tiga siri debat. Selain itu, perlu ada edaran teks dalam bentuk transkrip ucapan debat daripada ketiga – tiga siri dan kesemua calon; yang diedarkan kepada seluruh ahli samada dalam bentuk risalah mahupun sisipan di dalam akhbar rasmi PKR, Suara KeADILAN. Ini saya percaya mampu meningkatkan lagi tahap pencapaian maklumat kepada seluruh ahli PKR yang berdaftar di seluruh negara. Perkara yang disebut ini juga harus dihebah kepada semua media massa untuk menjadi satu isu nasional supaya rakyat dapat melihat betapa serius kita ingin melakukan Reformasi terhadap budaya politik di Malaysia.

Namun yang paling penting, ini semua harus berlaku sebelum hari pengundian.

Konklusi

Rumusannya, cadangan ini mampu dilihat sebagai satu langkah yang progresif dan baru untuk kita mematangkan bukan sahaja ahli PKR, tetapi juga membuka mata rakyat akan wujudnya alternatif buat mereka untuk memilih satu bentuk politik yang baru, kredibel, bersih dan mampu melahirkan lebih ramai pemimpin – pemimpin yang berkarisma dan hebat. Saya melihat Debat Presidential ini adalah satu wadah baru untuk kita mewujudkan satu persaingan yang sihat diantara ahli parti dan mampu mengekang segala bentuk politik wang yang mungkin menular di dalam parti. Selain menjadi parti politik pelopor kepada usaha ini, PKR telah mengangkat statusnya sebagai sebuah parti yang matang yang mampu menjunjung nilai – nilai dan prinsip kebebasan bersuara sejajar dengan amalan demokrasi yang sihat dan berkesan.

Saya mengharapkan cadangan ini mendapat perhatian yang serius daripada pucuk pimpinan parti dan juga ahli parti demi melakukan Reformasi sebenar ke atas sistem parti dan juga sistem politik Malaysia keseluruhannya.

Saya mendoakan dan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang bakal bertanding. Pentingnya Pemilihan PKR kali ini, adalah lebih penting daripada menjatuhkan rejim Umno – Barisan Nasional. Pentingnya pemilihan ini kerana pemimpin parti yang bakal kita pilih ini adalah mereka yang pada satu hari nanti, sesudah kita menawan Putrajaya pada PRU ke13, bergelar barisan kepimpinan ulung negara yang ingin kita persembahkan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya. Selamat Bertanding untuk semua calon.

Buat semua pengundi (baca : ahli PKR), berfikirlah dengan rasional dan timbang segala kemungkinan sebelum memilih calon. Kita semua memerlukan calon bergelar pemimpin yang benar – benar mampu ‘mengemudi layar’ Parti KeADILan Rakyat bersama Pakatan Rakyat yang bakal membawa kita semua menawan Putrajaya dengan maju jaya.

25 Ogos 2010 bersamaan 15 Ramadhan 1431H
Jalan Residensi, Pulau Pinang

Posted with WordPress for BlackBerry.

One Comment

  1. Pingback: Zaid-Ghafar-Ibrahim-Baba « Afif Bahardin Blog

Leave a Reply

Required fields are marked *.