Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

GST dan Sektor Kesihatan

| 0 comments

pix_gal0

“Pelaksanaan GST adalah pada 2015 dan kementerian ini akan meneruskan perbincangan dengan Kementerian Kewangan untuk melihat keseluruhan spektrum perkhidmatan kesihatan bagi meminimumkan kesan GST terhadap kos penjagaan kesihatan”

– Menteri Kesihatan, M Star Online, 7 November 2013

 

Inilah kenyataan Menteri Kesihatan pada November lepas apabila diminta mengulas mengenai kesan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada perkhidmatan kesihatan di negara kita. Walhal tiga hari sebelum itu, beliau menafikan sebarang kesan akan menimpa perkhidmatan kesihatan negara kerana perkhidmatan ini dikecualikan daripada cukai GST 6%.

Menurut Laman Web Rasmi Jabatan Kastam Malaysia – GST adalah levi yang dicaj ke atas pembekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat dalam menjalankan atau meneruskan perniagaan di Malaysia oleh orang kena cukai. GST juga dikenakan ke atas pengimportan barang dan perkhidmatan. Kadar yang ditetapkan adalah pada 6%. 7 April 2014 yang lalu, ketika sesi Parlimen; Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) telah diluluskan di Dewan Rakyat dengan 118 ahli Parlimen Barisan Nasional menyatakan persetujuan

manakala 81 ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyuarakan bantahan. Hakikatnya kini kerajaan akan tetap melaksanakan GST menjelang 2015.

Secara dasarnya GST adalah satu sistem percukaian yang telus, efisien untuk dilaksanakan bagi jangkamasa yang akan datang. Persoalannya, apakah Malaysia sudah bersedia? Falsafah perlaksanaan GST bukanlah untuk mencipta hasil baru atau meningkatkan pendapatan bagi negara tetapi adalah untuk memastikan satu sistem percukaian yang saksama dan menyeluruh. GST juga menjadi satu rangsangan kepada rakyat untuk meningkatkan simpanan serta tidak boros dalam berbelanja. Pendek kata, GST bertujuan untuk mengagihkan atau memperbanyakkan hasil cukai, bukannya menambahkan bebanan cukai. Di saat ini, kesesuaian waktu dan suasana ekonomi negara yang tidak diurustadbir dengan baik; maka adalah sukar untuk kita mewajarkan pelaksanaan GST.

Pembiayaan perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah satu isu besar dan menjadi kayu pengukur kepada pembangunan dan kesejahteraan sosial masyarakat Malaysia. Jawapan Menteri Kesihatan yang tidak meyakinkan pada tahun lepas mengenai GST tidak harus dibiarkan sepi. Memang benar GST tidak dikenakan kepada pengguna (end consumer) apabila meilbatkan perkhidmatan kesihatan, tetapi hakikatnya, pembekal akan menggenakan cukai kepada semua syarikat perubatan, hospital, klinik, makmal perubatan dan juga farmasi. Kepada para peniaga, apa jua bentuk cukai yang dikenakan – akhirnya demi mengekalkan margin keuntungan, pastinya beban itu akan diletakkan pada pengguna. Ini juga sama bakal terjadi kepada pengguna atau pesakit yang memerlukan perkhidmatan kesihatan.

Contoh mudah, ubatan yang dijual kepada pesakit oleh hospital, tidak dikenakan GST. Namun GST akan dikenakan kepada hospital apabila mereka membeli bekalan ubatan daripada syarikat pembekal mahupun pembuatan ubat. Kos untuk mendapatkan bahan mentah dan kos operasi untuk menghasilkan ubatan itu juga bakal terlibat dengan GST. Maka, harga akhir untuk ditawarkan kepada pengguna atau pesakit pastinya meningkat memandangkan tidak ada mana – mana peniaga atau pembekal akan rela untuk mengurangkan margin keuntungan produk jualan atau perkhidmatan mereka. Beban kos perkhidmatan kesihatan ini akhirnya ditanggung juga oleh rakyat.

Adalah dangkal apabila Menteri gagal untuk memahami bahawa GST tidak hanya bertindak di satu peringkat sahaja tetapi melibatkan beberapa lapisan perkhidmatan dan pembekalan. Ini adalah prinsip asas di dalam sektor pembekalan dan perkhidmatan. Saat artikel ini ditulis, Menteri dan Kementerian Kesihatan masih gagal untuk menjawab beberapa persoalan penting apabila melibatkan GST dan perkhidmatan kesihatan dan kesannya kepada rakyat Malaysia.

Antara persoalan yang timbul adalah; apakah kerajaan akan menetapkan kadar yuran perkhidmatan kesihatan? Apakah yuran konsultasi doktor, paramedik, fisioterapi, rehabilitasi juga akan dikawal? Apakah produk kesihatan seperti ubatan atau alatan yang dijual di pasaran bebas atau kaunter farmasi akan dikawal harganya? Ini adalah persoalan –  persoalan yang wajib diambil kira oleh rakyat apabila mendepani GST. Tidak cukup sekadar mengangguk percaya dengan kenyataan Menteri bahawa rakyat tidak perlu risau.

Anggaran perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk sektor kesihatan bagi tahun 2014 adalah mencecah RM22 billion menurut Kementerian Kewangan. Perbelanjaan besar ini pastinya akan meningkat apabila dilihatkan kepada beban kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan akibat pengenalan GST. Apakah Kerajaan Barisan Nasional sanggup menaikkan kadar perkhidmatan kesihatan awam? Apakah subsidi kesihatan akan dikurangkan demi menampung semula beban kos yang meningkat untuk mengurus sektor kesihatan? Akhirnya dalam usaha kerajaan untuk menambah pendapatan negara melalui GST, kerajaan sebenarnya terpaksa menanggung kos pengurusan yang lebih tinggi.

Disaat ketirisan, kebocoran, rasuah dan kegagalan kerajaan untuk melaksanakan sistem tender terbuka masih lagi menghantui pengurusan ekonomi negara, adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab untuk Kerajaan Barisan Nasional melaksanakan GST dan cuba untuk menampung kelompongan yang ada dengan membebankan rakyat. Negara ini bahkan pernah dilabel sebagai negara teratas di dalam persepsi rasuah jika dirujuk kepada kajian Ernst & Young (E&Y) di dalam Asia-Pacific Fraud Survey Report Series 2013. Lebih daripada 64% responden percaya untuk melakukan bisnes di Malaysia haruslah melibatkan rasuah dan lebih 71% percaya bahawa rasuah adalah kos tersembunyi yang tidak dapat dielakkan dalam melakukan bisnes di negara ini. Beginilah kritikalnya persepsi rasuah di negara kita.

Rakyat harus sedar, negara ini adalah negara yang kaya dengan hasil bumi dan sumber alam – jika ekonomi ditadbir dengan baik dan ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti menjadi prinsip pentadbiran kerajaan – maka pastinya beban kehidupan rakyat akan dapat dikurangkan dan lebih banyak pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas seperti perkhidmatan kesihatan dapat disediakan untuk rakyat. Apa yang perlu untuk Malaysia sekarang bukanlah sistem percukaian GST; tetapi Malaysia perlukan kerajaan yang cekap, telus dan akauntabiliti. Kita percaya, jika ketirisan, rasuah dan kebocoran ini dapat diatasi dengan tatakelola kerajaan yang baik, cekap, telus dan akauntabiliti – maka lebih daripada RM30 billion dapat diselamatkan setiap tahun.

Tolak GST ! Selamatkan Malaysia !

Leave a Reply

Required fields are marked *.