Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

Isu Kemasukan Pelajar Perubatan ke IPTA dan Kebanjiran Doktor Perubatan di Malaysia

| 0 comments

image

Pengumuman Timbalan Menteri Pelajaran bahawa Kerajaan memilih untuk mengurangkan jumlah kemasukan pelajar perubatan ke universiti awam sebagai satu langkah untuk mencegah kebanjiran doktor di dalam pasaran negara adalah satu tindakan yang kurang cermat dan bukan satu bentuk penyelesaian jangka panjang. 

Permasalahan kebanjiran graduan perubatan di dalam pasaran harus dilihat kepada beberapa permasalahan di dalam dasar kerajaan selama ini. Pertambahan mendadak universiti – universiti swasta yang menawarkan subjek bidang Perubatan sebelum ini telah menjadi salah satu penyebab kepada kebanjiran graduan perubatan. Termasuk juga kebanjiran graduan luar negara yang telah mendapatkan pengajian mereka secara swasta di universiti – universiti luar negara seperti Indonesia, Ukraine dan beberapa negara lain. Limpahan graduan ini juga menyumbang kepada masalah bila mana setiap graduan perubatan yang diikitiraf; secara ‘wajib’nya diambil bekerja dengan kerajaan sebagai Pegawai Perubatan Siswazah (house officer). Dengan jumlah hospital pakar yang tidak bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini; jumlah pakar perubatan yang tidak mencukupi serta limpahan pegawai perubatan siswazah ini juga telah mengakibatkan kebanyakkan hospital latihan ini tidak dapat memberikan latihan yang optimum kepada pegawai – pegawai perubatan siswazah ini.  

Oleh itu; langkah yang diumumkan oleh ‎Kementerian ini sewajarnya tidak harus melihat kepada kemasukan pelajar ke institusi awam semata-mata. Selain mengkaji semula kebenaran yang diberikan kepada institusi – institusi swasta untuk menawarkan pengajian perubatan; pengiktirafan yang diberikan kepada universiti – universiti luar negara juga harus dikaji. Ini adalah bagi memastikan; graduan yang layak dan benar – benar berkualiti dapat dipilih untuk diserap masuk ke dalam perkhidmatan kesihatan di negara ini. 

Kesimpulannya; menghadkan pengambilan pelajar perubatan di institusi awam sahaja adalah kurang cermat jika polisi yang melibatkan institusi swasta dan luar negara serta polisi pengambilan doktor ke dalam perkhidmatan awam tidak dikaji semula.

Leave a Reply

Required fields are marked *.