Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

Penghargaan Buat P.Ramlee Usaha Murni

| 0 comments

image

YB Lim Guan Eng mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan agar Lapangan TerbangĀ  Antarabangsa Pulau Pinang dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa P.Ramlee. Cadangan ini merupakan satu usaha murni dalam menghargai jasa P. Ramlee, sebagai warisan tak ternilai negeri Pulau Pinang. Selain memuliakan lagenda ini, dengan penamaan ini, ianya akan menjadi satu tarikan dan memberi nafas baru kepada perkembangan kegiatan seni dan perlancongan negeri ini.

Namun, sebagai satu langkah proaktif, ada baiknya, kerajaan negeri Pulau Pinang memulakan penghargaan kepada P.Ramlee dengan menganjurkan apa yang kita panggil sebagai Festival P.Ramlee; sebagai acara tahunan, dimana wujud Anugerah P.Ramlee, satu bentuk penganugerahan kepada karya penggiat filem dan lagu tempatan, selain siri seminar dan juga acara tayangan dan persembahan mengenai karya – karya agung P.Ramlee. Anugerah P.Ramlee akan menjadi medan kepada penggiat seni untuk menghasilkan karya yang bermutu bagi merebut tawaran trofi dan hadiah wang yang bakal ditawarkan buat pemenang Anugerah P.Ramlee. Anugerah ini juga mampu memberi semangat baru kepada ramai anak muda untuk menceburi bidang seni secara serius dan berkarya dengan berkualiti. Falsafah disebalik anugerah ini adalah layaknya untuk karya – karya yang mampu membawa agenda pencerahan ke dalam jiwa bangsa dan menganjak ketamadunan rakyat Pulau Pinang dan Malaysia seluruhnya.

Selain acara kemuncak seperti Anugerah P.Ramlee, siri – siri seminar atau bengkel yang menghimpunkan pakar dalam bidang seni filem dan muzik juga mampu memberi manfaat yang sangat bernilai kepada generasi muda yang berminat dengan bidang ini. Secara tidak langsung, sesi ilmiah seperti ini bakal melahirkan lebih ramai penggiat seni yang bermutu selain menjadi medan untuk berkongsi pengetahuan dan bertukar – tukar maklumat dan pendapat. Penglibatan generasi muda di dalam festival ini bukan hanya nanti mampu melahirkan bakat – bakat baru, bahkan tidak mustahil jika satu hari nanti seseorang seperti P.Ramlee akan kembali mewarnai industri seni negara.

Menjadi impian saya untuk melihat, Esplanade di Georgetown dilengkapkan dengan layar putih yang besar dimana filem “Seniman Bujang Lapok” ditayangkan kepada lebih 5000 penonton yang duduk beralaskan rumput; atau di Tapak Ekspo Seberang Jaya, didirikan satu pentas konsert yang besar dan megah, sambil diiringi Filharmonik Penang, setiap ruang udara kawasan itu dipenuhi dengan alunan muzik karya P.Ramlee. Selain itu tayangan dan persembahan ini bergerak sepanjang festival berlangsung dari satu daerah ke satu daerah lain di dalam Pulau Pinang. Tempoh ini juga menjadi medan terbaik untuk generasi baru penggiat seni untuk memaparkan karya mereka kepada khalayak.

Penganjuran festival sebegini bukan hanya untuk mengembalikan kegemilangan dan menghidupkan legasi P.Ramlee, tetapi juga untuk menjadikan P.Ramlee sebagai sumber inspirasi kepada generasi muda hari ini. Jika ini menjadi kenyataan, barangkali dapat kita tebus kembali kesilapan yang lalu walau barang sedikit. Moga kata – kata P.Ramlee di hujung hayatnya, “Jikalau aku mati nanti, nama aku akan tetap dikenang seribu tahun lamanya”, menjadi nyata dengan usaha murni ini.

Leave a Reply

Required fields are marked *.