Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

PERUTUSAN EID FITRI 1435H

| 0 comments

image

Menjelang Syawal, saya mengambil kesempatan ini, mewakili keluarga dan Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang  mengucapkan Eid Fitri Mubarak kepada seluruh umat Islam. Saya berharap kita menyambut hari yang penuh bahagia ini dengan mengingati saudara-saudara kita yang berada dalam penderitaan terutamanya di Gaza, Syria, Mesir, Myanmar dan dimana jua mereka berada. Tatkala kita semua menyambut hari lebaran dengan rasa syukur dan meriah bersama keluarga dan taulan, ada di kalangan kita yang meratapi pemergian mereka yang dikasihi. Moga Allah Yang Maha Besar memberi kesabaran buat kita semua.

Eid ul Fitr, salah satu dari maknanya adalah hari di mana kita sedar dan kembali kepada fitrah, mengingatkan sesungguhnya kita dicipta sebagai makhluk yang penuh kasih sayang, bukannya kebencian. Ramadhan selama hampir sebulan itu sewajarnya memupuk nurani kita untuk menghindarkan rasa dengki, benci dan dendam. Ramadhan sebagai medan tarbiyyah ruhhiyah adalah bagi melebur dinding hitam pekat yang merosak jiwa dan qalb, serta memangkin kemurnian agar kembali dengan rasa kasih yakni fitrah kita sebagai insan mahkluk kepada Pencipta Yang Agung.

Perjuangan sepanjang bulan Ramadhan yang berlalu kini disambut dengan Eid Fitr yang bermakna kembali kepada fitrah sebagai seorang manusia yang bersih dan suci. Terdapat dalam fitrah manusia juga adalah semangat keadilan dan kebencian kepada kezaliman. Maka merayakan fitrah juga bermakna merayakan semangat keadilan dan menggilap iltizam menentang kezaliman;

“Sebaik – baik jihad adalah menyatakan kebenaran pada penguasa yang zalim”  (Riwayat Imam Ahmad)

Malangnya sepanjang Ramadhan, masih ada yang menabur kebencian, fitnah dan berharap untuk memecah belahkan sesama kita. Menuduh dan menuding menjadi amalan dan budaya. Tatkala masyarakat menginginkan jurang perbedaan dirapatkan, fitnah dan kebencian disemai rekayasa golongan pelampau yang alpa akan fitrahnya sebagai makhluk. Keangkuhan meresapi diri kerana merasa tidak terkalahkan dan ramai.

Wajarlah kita mengenang kembali kisah Perang Hunain; disaat umat Islam angkuh diri berasa gagah selepas kejayaan Fathul Makkah, mereka melangkah ke medan Hunain dengan rasa megah. Ternyata Allah Maha Kuasa – tentera Islam nyaris tewas walau mempunyai bala tentera yang lebih besar dan hebat sehinggalah keampunan Allah dikecapi.  Firman Allah di dalam Surah at Taubah, ayat 25 yang menegur dan mengingatkan umat Islam:
“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”
Nyata Allah SWT menempelak sikap yang tergelincir jauh dari fitrah, iaitu gagal bersikap merendah hati dan pemurah serta mengasihani. 

Oleh kerana itu tidaklah salah menjelang sambutan Eidul Fitr, hari kemenangan menawan nafsu serta kejahatan, hari insan kembali kepada fitrah iaitu kepada kebaikan, kita bersama-sama merenung gesaan fitrah sekaligus mengangkat harakat kemuliaan insan kerana ianya meraikan persamaan dan menerima perbezaan.

Bukanlah asing terutamanya buat umat Islam untuk meraikan persamaan antara mereka yang punya keyakinan berbeza dan ras kerana pesan Al Quran untuk kita saling kenal mengenali; Li Taarafu dan Kalimatus Sawa.

Dengan semangat ini rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama boleh mencipta zaman baru, satu Renaissance bangsa Malaysia.

Akhir kata, saya dan keluarga mengucapkan salam Eid Fitr kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Malaysia. Semoga kemenangan ini menguatkan azam dan tekad kita untuk bersatu demi rakyat dan menegakkan keadilan.

Minal ‘aidin wal faidzin, maaf zahir dan batin.

Eid Mubarak

DR AFIF BIN BAHARDIN

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

ADUN Seberang Jaya

Ketua Angkatan Muda Pulau Pinang

Timbalan Ketua Cabang Keadilan Permatang Pauh

1 Syawal 1435H | 28 Julai 2014

Leave a Reply

Required fields are marked *.