Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

PIMPINAN TERTINGGI WAJAR KEMBALI PERKUKUH PAKATAN RAKYAT MENERUSI SEMANGAT KEBERSAMAAN DAN MUSYAWARAH

| 0 comments

Malaysia's opposition leaders hold hands at the end of their People's Alliance conference in Shah Alam

KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA

21 SEPTEMBER 2014

PIMPINAN TERTINGGI WAJAR KEMBALI PERKUKUH PAKATAN RAKYAT MENERUSI SEMANGAT KEBERSAMAAN DAN MUSYAWARAH

Angkatan Muda KEADILAN mengambil maklum pandangan serta kritikan oleh Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungan beliau di Muktamar PAS semalam dengan penuh keterbukaan.

Tahaluf siyasi atau kerjasama politik sewajarnya dilandaskan di atas nilai kebersamaan dan kepercayaan sebagaimana yang telah dipersetujui di awal pembentukan Pakatan Rakyat iaitu untuk memperjuangkan prinsip keadilan dan kebebasan di Malaysia dalam kerangka yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka sewajarnya semangat dan matlamat ini digarap dan dihidupkan semula demi memulihkan kembali hubungan dua hala yang kini kelihatan keruh di antara parti PAS, DAP dan KEADILAN.

Rentetan beberapa isu sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 termasuk masalah pertindihan kerusi di antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat, Kajang Move, hudud dan krisis pelantikan Menteri Besar Selangor telah mengakibatkan perbezaan pendirian di antara parti-parti bertukar menjadi krisis dan pergeseran terbuka sesama pemimpin. Ini seterusnya mengundang tafsiran serong di mata rakyat serta menjejaskan reputasi para pimpinan Pakatan Rakyat ke tahap yang cukup membimbangkan.

Justeru, kami dengan penuh rasa hormat dan rendah diri memohon agar barisan kepimpinan Pakatan Rakyat agar segera mencari titik persamaan dengan kembali ke meja rundingan dan mengangkat semangat muafakat sebagai teras untuk mengukuhkan semula Pakatan Rakyat. PAS, DAP dan KEADILAN perlu bersatu dan kembali kepada mauduk asal Pakatan Rakyat iaitu untuk menegakkan keadilan dan kebebasan demi membentuk sebuah negara Malaysia yang gagah.

Kami juga berpandangan Pakatan Rakyat juga perlu memulakan inisiatif baru dengan mengalu-alukan penglibatan parti-parti politik lain di seluruh negara termasuk parti-parti dari Borneo untuk berganding bahu untuk mendepani UMNO – Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

Sesungguhnya rakyat menaruh harapan yang cukup tinggi untuk melihat sebuah Pakatan Rakyat yang utuh dan kuat untuk terus membela dan memartabatkan hak mereka.

DR. AFIF BAHARDIN
Timbalan Ketua
Angkatan Muda KEADILAN

Leave a Reply

Required fields are marked *.