Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

Rakyat Hakim Negara

| 0 comments

image

sebuah sangkar besi
tidak bisa mengubah rajawali
menjadi seekor burung nuri

rajawali adalah pacar langit
dan di dalam sangkar besi
rajawali merasa pasti
bahwa langit akan selalu menanti

hidup adalah merjan-merjan kemungkinan
yang terjadi dari keringat matahari
tanpa kemantapan hati rajawali
mata kita hanya melihat matamorgana

rajawali terbang tinggi
membela langit dengan setia
dan ia akan mematuk kedua matamu
wahai, kamu, pencemar langit yang durhaka

-Rajawali, WS Rendra 1997

Pada tahun 1998, Anwar Ibrahim telah mencuri pandangan dunia terhadap Malaysia dan menyentuh jutaan hati rakyat negara ini. Pemecatan dari menjadi ‘orang nombor dua’ dalam negara ketika itu telah menggegar pentas politik negara. Maka bermulalah apa yang diistilahkan oleh penganalisa politik — era Reformasi yang akhirnya menyaksikan Anwar ditangkap pada¬†20 September 1998. Saat tokoh ini disingkir dari gerbang kuasa secara aib; beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai bentuk penghinaan, deraan fizikal dan mental, yang kemudiannya memerosokkan beliau ke penjara selama hampir enam tahun. Mulai dari detik itu, ramai yang mulai beranggapan riwayat politik Anwar telah berakhir.

Anwar mulai mencuri tumpuan khalayak sebagai seorang pemimpin muda yang menggerakkan kebangkitan Islam dan pelajar di Malaysia dalam era 70an, seterusnya bergelut sebagai reformis UMNO yang dilihat pantas mendaki hierarki kekuasaan. Ternyata kewibawaan dan kepimpinan beliau mengundang cemburu di kalangan para penguasa UMNO. Selepas ‘cubaan bunuh’ oleh Dr. Mahathir Mohamad dan para konspirator politik terhadap Anwar, tanpa diduga beliau tampil sebagai pemimpin utama barisan pembangkang beberapa ketika selepas dibebaskan dari penjara ketika pentadbiran negara dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi. Hasil kebijaksanaan dan diplomasi politik beliau dalam memimpin barisan pembangkang, kekuatan Barisan Nasional berjaya dirobek dalam Pilihan Raya Umum 2008. Lantaran itu, mitos bahawa kononnya hanya Barisan Nasional sahaja yang mampu untuk memerintah negara akhirnya dimusnahkan. Kebangkitan barisan pembangkang yang kini bergerak dengan nama Pakatan Rakyat di bawah teraju Anwar ternyata mengejutkan para penganalisa politik.

Reformasi kini memasuki usia 16 tahun. Telah banyak pencapaian dikecap, antaranya adalah Barisan Nasional yang kehilangan dua pertiga kerusi majoriti di Parlimen, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, suara awam yang lebih kuat, tembok perkauman semakin retak, harapan kepada sistem dua parti tampak cerah dan banyak lagi pencapaian yang tak terjangkau imaginasi kita sebelum ini. Tidak mungkin pencapaian ini dikecapi jika pengorbanan dan apa yang menimpa Anwar tidak menjadi pemangkin kepada tuntutan perubahan ini. Anwar memilih untuk bersama dengan rakyat di saat mereka bergelut dalam kegetiran dan menolak segala godaan kuasa, harta dan kedudukan semata-mata untuk mempertahankan prinsip perjuangan dan membentuk sebuah negara Malaysia yang bebas, demokratik dan bermaruah.

Kini Anwar bakal dipenjara lagi. Keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lepas adalah untuk memenjarakan beliau selama lima tahun. Tidak cukup dengan penjara, hak beliau sebagai rakyat turut dinafikan. Tiada ruang untuk bersuara di dalam media perdana. Fitnah, cercaan dan penghinaan saban hari diulang tayang di media-media kawalan Barisan Nasional. Biro Tatanegara digunakan sepenuhnya sebagai agen propaganda menyerang Anwar. Universiti dipasung menolak kehadiran beliau. Apa salah Anwar? Salahnya hanya satu – menjadi jurubicara rakyat Malaysia melawan kebobrokan dan kepincangan sistem yang ditaja UMNO dan Barisan Nasional. Beliau menjadi suara kepada rakyat yang cintakan negara ini, yang dahagakan perubahan yang dambakan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Beliau menjadi ‘voice of conscience’ – suara kesedaran untuk kita semua.

Percayalah, keadilan untuk Anwar ini bukanlah soal perjuangan membela sosok. Jauh sekali perjuangan peribadi beliau. Anwar menjadi simbol perjuangan rakyat menolak apa jua bentuk kezaliman. Selagi mana ketidakadilan, kezaliman dan kekejaman terhadap Anwar berlaku dan berulang, ia menjadi bukti jelas bahawa sistem kehakiman di negara ini masih pincang, pentadbiran masih korup serta media yang terkongkong. Pembohongan, fitnah dan penipuan disogok kepada rakyat hingga ke tahap yang langsung tidak boleh diterima oleh norma masyarakat. Semua ini hanya berlaku apabila ‘kejahatan’ mengatasi ‘kebaikan’; hanya apabila ‘kebaikan’ berdiam diri membenarkan segala kebejatan ini berlaku.

Tidak ada saat lain yang mana Anwar lebih memerlukan rakyat dari sekarang. Beliau bakal dipenjara lagi — kerana berjuang untuk rakyat. Sudah tiba masanya kita bangkit. 28 dan 29 Oktober ini tarikh keramat. Maka saya menyeru semua khususnya anak muda supaya hadir beramai-ramai ke Istana Kehakiman bagi menzahirkan sokongan kita kepada Anwar. Biarlah menjadi sejarah kepada generasi masa depan bangsa kita bahawa pada tarikh keramat tersebut — rakyat adalah hakim negara!

Leave a Reply

Required fields are marked *.