Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

Rampasan Kampung Tanduo – Kegagalan Barisan Nasional Tepati Janji “Selamat, Aman dan Makmur”

| 0 comments

 

Menjelang pilihan raya, dengan andaian Barisan Nasional akan tewas dalam PRU 13, propaganda ketidakstabilan dan huru – hara mula dicanang terutamanya oleh gerombolan elit pemerintah – baik yang masih berkhidmat ataupun yang telah ‘pencen’. Dalam keriuhan polemik ketidakstabilan negara ini, tidak semena – mena, negara digemparkan dengan kehadiran militia penceroboh, yang mendakwa diri mereka sebagai Tentera Di Raja Sulu, pada 9 Februari lalu apabila mereka mula menawan Kampung Tanduo di Felda Sahabat 17, Lahad Datu. Anggota kumpulan militia berketurunan Tausug dan Bajau yang lengkap bersenjatakan M16, pelancar bom tangan dan beberapa jenis senjata api lain – mula mendarat di Lahad Datu secara berperingkat dari Jolo, Basilan dan Tawi Tawi. Tuntutan mereka – jangan dikembalikan rakyat Sulu yang berada di Sabah kepada Filipina.

Adalah mendukacitakan, apabila Kementerian Dalam Negeri, yang dipimpin Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bersama dengan pihak tentera dan polis, memilih untuk sekadar berunding dengan kumpulan militia dan sehingga ke saat artikel ini ditulis, dianggarkan seramai 300 orang anggota militia telah berkumpul di Kampung Tanduo dan rundingan sudah masuk minggu kedua dengan beberapa tuntutan baru daripada pihak penceroboh yang agak mencurigakan. Rundingan masih belum selesai dan gerakan militia ini masih menawan Kampung Tanduo. Penduduk asal terpaksa lari meninggalkan kampung mereka dan tidak dapat kembali mencari rezeki di ladang – ladang tanaman mereka. Persoalannya, sejak bilakah kerajaan Malaysia berunding dengan musuh bersenjata dan beginikah caranya Menteri di Dalam Negeri dan Barisan Nasional mentadbir dan menanggani masalah berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara? Lebih menarik, menurut Pesuruhjaya Polis Di Raja Malaysia Sabah, Datuk Hamza Taib, kehadiran militia penceroboh ini adalah sebagai respon kepada penemuan – penemuan yang melibatkan Suruhanjaya Penyiasatan Di Raja berkenaan ‘Projek Kad Pengenalan‘ di Sabah.
Dalam masa yang sama, di saat anggota keselamatan kita terus mengepung dan berunding dengan kumpulan militia ini, Menteri di Dalam Negeri telah bertindak menahan dan menghantar pulang Senator Australia, Nick Xenophon, yang tiba di KLIA untuk rangka kerja lawatan ke Malaysia baru – baru ini – kononnya atas alasan bahawa beliau adalah satu ancaman kepada keselamatan negara ini. Nick Xenophon terkenal di Malaysia kerana penglibatan beliau dengan demonstrasi Bersih 3.0 sebagai pemerhati bebas. Seseorang yang tiba ke negara ini dengan dokumen perjalanan yang sah dan tanpa senjata, tetapi hanya kerana pernah mengkritik kerajaan Barisan Nasional – maka hak beliau untuk memasuki negara ini telah dinafikan – membuktikan ketakutan elit pemerintah hari ini dan sikap mereka yang pantang dikritik dan pilih bulu. Apakah dengan mengkritik dasar kerajaan dan amalan demokrasi yang songsang merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara? Atau, apakah tindakan seketumbukan anggota militia yang bersenjata menawan sebuah kampung tempatan adalah dialu – alukan oleh kerajaan Barisan Nasional? Apakah tidak insiden ini boleh dianggap serupa dengan insiden yang berlaku di Bukit Jenalik, Sauk pada tahun 2000 ? Tidakkah ini adalah satu kesalahan yang boleh dilabel sebagai ‘melancarkan atau cuba melancarkan perang ke atas Yang Di-Pertuan Agong atau Yang Di-Pertua Negeri’?

Suka untuk saya membuat satu perbandingan apabila mengikuti perkembangan kemelut di Lahad Datu ini dengan cara dan sikap kerajaan Barisan Nasional tatkala melayan tuntutan BERSIH, bermula daripada BERSIH 1.0 sehingga BERSIH 3.0. BERSIH, gabungan pertubuhan bukan kerajaan yang berjuang menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, serta mengembalikan amalan politik yang murni – dianggotai oleh rakyat Malaysia yang patriotik dan peduli akan masa depan negaranya – telah dilayan oleh pentadbiran Barisan Nasional tidak lebih daripada layanan terhadap seorang ‘penjenayah’.

Setiap kali himpunan BERSIH dianjurkan, pihak kerajaan Barisan Nasional tidak pernah membenarkan apatah lagi membantu penganjur untuk memastikan perhimpunan yang aman berlangsung. Pelbagai bentuk sekatan, tangkapan dan tidak kurang juga intimidasi secara fizikal dan mental dilakukan terhadap; bukan sahaja penyokong BERSIH, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia. Siapa tidak ingat, daripada BERSIH 1.0 sehingga BERSIH 3.0, walaupun kehadiran rakyat melebihi 300 000 orang, berhimpun dengan aman dan tanpa senjata, pihak kerajaan Barisan Nasional dengan secara terancang menpergunakan segala aparatus kerajaan untuk bertindak mencederakan rakyat dengan gas pemedih mata, simbahan air asid, pukulan padu penumbuk anggota polis, sesahan belantan anggota simpanan Persekutuan (FRU) dan tidak mungkin kita lupakan keperitan penampar anggota polis Cawangan Khas (Special Branch). Rakyat yang lahir dan membesar di bumi bertuah ini, dilayan ibarat sampah dan musuh negara – hanya kerana mereka menuntut hak mereka dikembalikan – hak untuk satu pilihan raya yang adil dan bersih.

Apa pula yang berlaku di Kampung Tanduo, Lahad Datu hari ini? Pencerobohan militia oleh lebih 300 warga asing, bukan saja telah memasuki negara ini secara haram, bahkan secara terang – terangan mengangkat senjata dan menuntut sesuatu yang menyalahi bukan sahaja undang – undang negara ini, tetapi mencemari kedaulatan dan menjatuhkan keluhuran Perlembagaan negara ini. Tidak kurang daripada itu, keselamatan penduduk terancam dan menganggu kehidupan seharian rakyat di kawasan itu. Lebih malang, imej Sabah dan negara ini tercemar dengan insiden pencerobohan seumpama ini. Sehingga sudah timbul desas – desus di kalangan rakyat, apakah wujudnya satu pakatan sulit diantara kumpulan yang mendakwa diri mereka yang mewakili Kesultanan Sulu dengan Kerajaan Barisan Nasional dalam menjayakan “Projek Kad Pengenalan” di Sabah? Dakwaan ini wajib dijawab oleh kerajaan Barisan Nasional kerana jika benar – ini adalah satu pengkhianatan terbesar Barisan Nasional – memperjudikan masa depan; bukan sahaja negeri Sabah, tetapi juga negara Malaysia seluruhnya.

Lebih sepuluh bulan lalu, Menteri di Dalam Negeri memuatnaik gambar beliau di laman Twitter dengan ulasan “Pagi tadi… memikirkan nasib dan masa depan kita semua”, mengapa apabila pencerobohan sebegini serius berlaku, kita hanya menyaksikan tindak balas yang pasif daripada beliau sebagai menteri bertanggungjawab ? Mengapa tiada langsung tangkapan dilakukan ? Mengapa tanah berdaulat Kampung Tanduo dibiarkan ditawan penceroboh lebih daripada dua minggu ? Mengapa tiada usaha untuk merampas semua senjata, menangkap penceroboh dan meminta kerajaan Filipina bertanggungjawab atas tindak – tanduk rakyat mereka ? Mengapa rundingan ? Mengapa layanan sebegini diberikan kepada penceroboh bersenjata tetapi tidak kepada rakyat negara ini yang berhimpun dengan aman ? Mengapa tuntutan BERSIH yang sah; yang hak – dipandang sepi oleh kerajaan Barisan Nasional ? Persoalan – persoalan ini pastinya timbul dalam setiap benak pemikiran rakyat yang peduli bukan hanya tentang keselamatan dan haknya sebagai warga yang bebas dan merdeka; tetapi juga peduli akan keselamatan keluarga, rakan dan seluruh rakyat negara ini.

Masih belum terlambat untuk kita menyoroti kembali Manifesto Barisan Nasional pada PRU 12 lebih lima tahun lalu. Manifesto yang bertemakan “ Selamat, Aman dan Makmur” telah menggariskan sembilan topik utama dan salah satu daripadanya adalah soal keselamatan. Di dalam topik ini, Barisan Nasional secara jelas menjanjikan untuk menjaga keselamatan rakyat dengan mengurangkan indeks jenayah negara dan menangani isu pendatang tanpa izin. Nyata dengan insiden terbaru di Lahad Datu, manifesto Barisan Nasional gagal dipenuhi dan tidak lebih daripada sekadar menanam tebu di pinggir bibir, rebung berduri di hati.

 

Leave a Reply

Required fields are marked *.