Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

Selamat Tinggal Zaid Ibrahim

| 0 comments

Buat ke sekelian kali, seperti yang telah dijangka, Zaid Ibrahim sekali lagi keluar Parti – kali ini keluar daripada Parti Keadilan Rakyat.

Perasaan saya bercampur. Gembira kerana parasit yang ingin menumpang dalam PKR ini dengan sendiri menyingkirkan diri daripada Parti, tetapi gusar akan pandangan masyarakat teramai. Imej PKR teruk dimanipulasi dan media mengambil peluang ini untuk memburuk-burukkan PKR.

Memburukkan PKR satu perkara, tetapi yang lebih malang apabila ada serangan berterusan dan terancang untuk merendahkan dan mencemar amalan demokrasi terus – satu ahli satu undi – yang diperkenalkan PKR. Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha jahat untuk membodohkan rakyat dari mengenali satu sistem pengamalan demokrasi yang jauh lebih baik daripada yang ada sekarang.

Saya memandang ‘kebebasan’ yang diberikan sekarang ini masih gagal dikecapi nikmatnya yang sebenar oleh ahli PKR. Nikmat yang saya maksudkan adalah peluang untuk kita melibatkan diri dalam proses demokrasi dan mampu untuk menentukan kepimpinan dan hala tuju Parti dengan tanggungjawab. Ini semua bergerak atas prinsip bahawa kebebasan itu batasnya adalah tanggungjawab dan etika. Dan tanggungjawab itu bermakna memilih untuk mengundi dengan akal dan bukan sentimen semata – mata. Berfikir dan menaakul sebelum mengundi.

Maka yang diperlukan oleh PKR sekarang ini adalah masa dan iltizam untuk benar – benar menjadi perintis (baca:reformis) kepada satu bentuk budaya politik baru untuk Malaysia. Adalah tidak mustahil, bahawa satu hari nanti, kita bakal menyaksikan pemilihan terus Perdana Menteri oleh rakyat teramai melalui satu proses pemilhan – satu rakyat satu undi – bukan lagi dipilih oleh sekadar perwakilan parti politik yang menerajui Kerajaan. Dan tidak juga mustahil andai rakyat juga bisa terlibat dalam menentukan segala bentuk polisi atau rang undang-undang yang dibahas di Parlimen. Semua ini batu loncatannya diharapkan adalah Pemilihan PKR 2010 ini.

Saya menyarankan agar setiap ahli PKR, terutamanya pimpinan, untuk sungguh – sungguh advokasi mengenai amalam demokrasi terus kerana hanya dengan cara ini, barulah usaha ke arah kebebasan, Reformasi dan jaminan keadilan dapat dikecapi. Usaha kita ini semua bukan setakat satu budaya baru, tetapi satu perjuangan panjang untuk memerdekakan rakyat dan menjadikan Pencerahan bangsa Malaysia itu sesuatu yang nyata.

Buat Zaid Ibrahim, Selamat Tinggal. Kepimpinan anda tidak kami perlukan kerana usaha ini hanya untuk mereka yang benar-benar jujur dan ikhlas.

Posted with WordPress for BlackBerry.

Leave a Reply

Required fields are marked *.