Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

[TEKS UCAPAN] Pelancaran Gagasan Keadilan Raya oleh YB Mohamed Azmin Ali

| 0 comments

image

GAGASAN KEADILAN RAYA

16 APRIL 2014

Majlis Pimpinan Pusat,

Pimpinan Cabang, Angkatan Muda dan Wanita

Aktivis reformasi dan para pejuang KEADILAN.

1. Saya menyambut kedatangan saudara – saudari sekalian, para pejuang tegar KEADILAN, dengan serangkap pantun:

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan,
Datangnya jauh beribu batu,
Terus berjuang mara ke hadapan.

2. Beberapa hari lalu kita menyambut ulangtahun ke – 15 Parti Keadilan Rakyat. Pada 4 April 1999, kita cuba membina sebuah harapan baru untuk rakyat Malaysia.

3. Parti keramat ini dibina atas keringat rakyat yang bangkit untuk melawan kebobrokan UMNO dan sistem yang menginjak – injak maruah bangsa. Ranjau dan cabaran yang kita lalui telah mematangkan kita sebagai satu wadah yang gagah dan berani. Perjuangan kita adalah moral crusade.

4. Kita telah menyertai empat Pilihan Raya Umum dan puluhan Pilihan Raya Kecil. Kita pernah menang, kita pernah tewas.

5. Tatkala parti mengalami zaman suram, pasca PRU 11 pada tahun 2004, ada pemimpin yang meninggalkan kita dan ada juga yang mengalami political fatiguedan berehat. Namun pejuang KEADILAN yang tegar tidak akan berundur. Saudara – saudari lah pejuang KEADILAN yang istiqamah dan tidak pernah berehat.

Kita bangkit dengan tekad baru untuk terus melawan cengkaman penjajahan baru.

6. Kita berjaya membentuk Kerajaan Negeri selama dua penggal. Dua penggal kita menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat dan dalam PRU 13, buat julung kalinya kita bersama Pakatan Rakyat meraih 52% undi popular dan memaksa Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Minoriti.

7. Jika dahulu kita melaungkan reformasi ketika berdemonstrasi di luar Parlimen, sekarang kita membawa dan menegaskan agenda reformasi di dalam Parlimen.

8. Dalam konteks global, sudah 15 tahun warga KEADILAN gah dipersada parti – parti politik dunia. Kita berakar di bumi Malaysia, tetapi minda politik kita perlu menjangkau cabaran politik global.

Kita memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat Malaysia, ketika yang sama kita juga memperjuangkan keadilan sejagat.

9. Umur 15 tahun, tentunya amat muda berbanding dengan sejarah perjuangan kemanusiaan. Justeru itu, kita perlu menghimbau sejarah perjuangan parti politik kerana kita melihat diri kita sebagai pewaris kepada perjuangan demokrasi dan kemanusiaan global.

10. Parti – parti politik muncul seiring dengan kemunculan demokrasi sebagai sistem politik yang berteraskan suara rakyat untuk menentang tirani dan monopoli kekuasaan elit feudal. Ahli sejarah melihat The Glorious Revolution, satu revolusi tanpa pertumpahan darah yang berlaku di England dalam tahun 1688, sebagai titik bermulanya sistem politik Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

11. Manusia mencari sistem politik agar kekuasaan tidak dimonopoli oleh kelas tertentu yang memiliki tanah dan menguasai kekayaan. Hakikatnya, bakat kepimpinan juga terdapat dari golongan murba, marhaen dan proletar.

12. Demokrasi yang terbuka, telus, dan tidak dirosakkan oleh wang, harta, pangkat, kedudukan dan gelaran akan menjadi wahana kepada kemunculan bakat dari segenap lapisan umat. Ia menjamin kesaksamaan bagi setiap bakat untuk berpartisipasi dalam sistem demokrasi.

13. Meskipun Glorious Revolution, atau Revolusi Gemilang, satu sejarah kemanusiaan yang mempengaruhi dunia, namun rakyat England di abad ke 17 tidak berpuas hati dengan pencapaian tersebut. Ini kerana, England beralih kepada pemerintahan aristokrasi yang didominasi golongan bangsawan dan pemilik tanah.

14. Aristokrat menafi perwakilan yang adil ke Parlimen. Wujud kawasan Parlimen yang hanya punyai tujuh orang pengundi tetapi mempunyai dua orang wakil diHouse of Common. Lebih seratus tahun rakyat, England berjuang untuk sistem perwakilan yang adil di Parlimen. Hanya setelah beberapa Rang Undang – Undang yang dikenali dengan The Reform Bills 1832, 1867 dan 1884 diluluskan, maka pemerintahan rakyat atau demokrasi berperwakilan menjadi kenyataan.

15. Keadilan dalam persempadanan pilihan raya adalah bagian dari demokrasi yang akan kita perjuangkan. Ini amat penting, kerana jika sempadan pilihan raya dalam PRU 13 adil dan demokratik, Pakatan Rakyat sudahpun berada di Putrajaya. Majoriti rakyat Malaysia memilih Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tokoh Demokrat Muslim yang diiktiraf oleh masyarakat dunia.

16. Dari sejarah ini, kita perlu belajar bahawa demokrasi bukanlah satu anugerah. Demokrasi adalah hak rakyat. Sempadan ruang demokrasi bukan ditentukan oleh pemerintah. Demokrasi hanya akan diperolehi melalui perjuangan rakyat.

17. Sekiranya pemerintah berpegang teguh kepada Pemashyuran Kemerdekaan 1957 yang menjanjikan suatu bangsa yang merdeka dan berdaulat; berteraskan kebebasan dan keadilan untuk sekalian rakyat; saya yakin badan kehakiman di negara ini akan menjamin keadilan untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan beliau tidak akan berdepan dengan pendakwaan dan hukuman atas amalan undang – undang rimba oleh pemerintah yang pengecut.

18. Sekiranya ada prinsip keadilan dan amalan demokrasi; pastinya saya tidak dihalau keluar dari Parlimen semata – mata kerana membawa usul untuk membicarakan kelakuan hakim – hakim yang dikeramatkan oleh Perkara 127 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 36(8) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

19. Sekiranya ada ruh keadilan dalam pengurusan ekonomi, saya pasti Rang Undang Undang GST yang memindah beban cukai dari kroni kepada rakyat biasa tidak akan diluluskan. Apa ertinya slogan rakyat didahulukan apabila syarikat – syarikat gergasi kroni seperti CIMB, Maybank dan RHB Bank mendapat pelepasan cukai pendapatan korporat di Tun Razak Exchange (TRX) bernilai RM 3.1 bilion sedangkan petani miskin, buruh kasar, pemandu teksi dan penjawat awam rendah dibebankan dengan cukai GST.

20. Berbeda dengan kebijakan ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Kewangan, beliau telah melakukan reformasi percukaian yang menyeluruh termasuk menaikkan threshold cukai pendapatan dan membebaskan puluhan ribu rakyat dari beban cukai.

21. Abad ke – 18, yang dikenali sebagai abad Pencerahan, kemajuan demokrasi dipimpin oleh Amerika. Meskipun tidak ada parti politik di zaman pentadbiran Presiden pertama, George Washington, namun wujud dua bibit yang kemudiannya menjadi parti politik.

22. Yang pertama, diketuai oleh Setiausaha Perbendaharaan, Alexander Hamilton yang mahukan pemusatan kuasa di Washington dan mahukan dasar-dasar kerajaan menyokong golongan industri dan bank. Kumpulan kedua diketuai oleh Setiausaha Negara, Thomas Jefferson, penulis perisyhtiharan kemerdekaan dan kemudiannya menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke 3.

23. Jefferson menubuhkan Parti Republikan untuk memperjuangkan kepentingan ekonomi warga tani yang ditentang oleh golongan industri dan kewangan yang diterajui oleh Alexander Hamilton.

24. Sementara itu, Revolusi industri yang berkembang rancak di Eropah di abad ke – 19 turut membawa pelbagai masalah sosial termasuk penindasan terhadap golongan buruh. Maka, muncul lah perjuangan menuntut hak dan kebajikan pekerja.

25. Negara Jerman yang pesat kemajuan industri turut melahirkan pergerakan buruh yang paling progresif, langsung melahirkan German Social Democratic Partypada tahun 1869. Parti politik itu menerbitkan manifesto ‘Program Gotha’ yang memperjuangkan hak mengundi semua rakyat, universal suffrage, kebebasan berpersatuan, membataskan hari bekerja dan penjagaan kesihatan pekerja.

26. Abad ke – 19 menyaksikan imperialisme besar – besaran Inggeris, Perancis, Belanda dan Jerman. Maka berlakulah l’exploitation de l’homme par l’homme,eksploitasi oleh manusia ke atas manusia.

27. Eksploitasi ini mencetuskan gerakan nasionalisme yang disebut oleh penulis Lothorp Stoddard sebagai The Rising Tide of Colour. Buku ini begitu mempengaruhi Soekarno sehingga diterjemahkan ke bahasa Melayu dengan tajuk ‘Pasang Naik Kulit Berwarna’.

28. Negara jajahan British yang terbesar iaitu India menjadi pemimpin kepada gerakan kebangkitan rakyat Asia dan Afrika menentang imperialisme. Parti Kongres India yang ditubuhkan dalam tahun 1885 menjadi wahana perjuangan Gandhi, Nehru dan Chandra Subha Bose bagi menggembleng kekuatan rakyat melawan penjajahan untuk memperolehi kemerdekaan dan membangun India merdeka.

29. Parti Muslim League yang ditubuhkan oleh penyair – filasuf Muhammad Iqbal menjadi kekuatan politik untuk kebebasan umat Islam di benua kecil India di bawah kepimpinan Muhammad Ali Jinnah masih terpahat dalam sejarah perjuangan.

30. Sejarah perjuangan kemerdekaan nusantara juga memperlihatkan kebangkitan nasionalisme rakyat mempertahankan kedaulatan tanahair mereka. Di Indonesia, Soekarno memimpin massa menuntut kemerdekaan dan mengusir penjajah Belanda yang rakus mengaut kekayaan ekonomi tanahair mereka.

31. Lantas Soekarno memulangkan kedaulatan negara dan mengangkat martabat rakyat, katanya : “Negara Republik Indonesia ini milik kita semua, dari Sabang sampai Marauke”.

32. Karya penulisan tokoh – tokoh kemerdekaan Indonesia bukan sahaja menyalakan semangat nasionalisme di Indonesia, tetapi juga membakar semangat rakyat Malaya. Rakyat segera bersatu dalam persatuan – persatuan dan parti – parti politik sebagai wahana perjuangan mereka. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) merupakan parti politik pertama yang melaungkan slogan ‘Merdeka’ yang kemudiannya disahut sekian pelusuk rakyat Malaya sebagai slogan tuntutan kemerdekaan.

33. Kita menoleh sejarah perjuangan demokrasi dan parti – parti politik di Eropah, Amerika, Asia dan Afrika kerana kita perlu belajar dari kecekalan, kegigihan, kesabaran dan kesetiaan mereka terhadap perjuangan rakyat dan kemanusiaan untuk melawan tirani dan menegakkan keadilan.

34. Manusia bukan sahaja perlu dibebaskan dari cengkaman sang penguasa, bahkan manusia perlu dibebaskan dari kejahilan, khurafat, fanatisme dan pemikiran sempit.

35. Seperti yang diungkapkan oleh The Great Malayan, the pride of the Malay race, Jose Rizal, “…selagi akal masih terkongkong, selagi kepercayaan ingin menundukkan fakta, selagi nafsu dijadikan raja dan selagi ada bangsa memijak bangsa yang lain”.

36. Jika kita menelusuri sejarah parti – parti politik yang berjaya memperjuangkan pembebasan, kita akan mendapati mereka juga mewacanakan Pencerahan di kalangan rakyat.

37. Sejarah perjuangan demokrasi ini memberikan ilham dan rangsangan. KEADILAN berada pada kedudukan yang sangat strategik sebagai the vital centredalam muafakat Pakatan Rakyat.

38. Justeru itu, KEADILAN perlu kuat dan mantap, perlu kepada ideologi yang jelas, mempunyai tapak yang luas lagi inklusif. Kita bertanggungjawab untuk memperkukuh KEADILAN sebagai langkah untuk memperkasa muafakat politik dalam Pakatan Rakyat untuk menjana kemenangan dalam PRU 14.

39. Sebuah parti politik perlu mempunyai ideologi. Tanpa ideologi, parti akan terumbang ambing dalam arus masa dan akan karam dalam budaya politik Machiavelli, melakukan apa sahaja untuk mendapat kemenangan, the end justifies the mean, matlamat menghalalkan cara. Apa yang saya maksudkan sebagai ideologi adalah satu gagasan menyeluruh, a comprehensive vision.

40. Sahabat – sahabat seperjuangan, mari kita menghayati firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

41. Allah S.W.T berfirman : “Wahai orang – orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang – orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali – kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” ( Al Maidah : 8 )

42. Dari tamadun Cina, kita mendengar pertanyaan seorang murid kepada gurunya, Kung Fu Tze. Sang murid bertanya : “Bagaimana seorang yang berakhlak itu menilai keberanian ?”. Kung Fu Tze menjawab : “Orang berakhlak lebih memberi keutamaan kepada keadilan. Orang berakhlak yang berani tanpa keadilan menjadi pemberontak, orang kecil yang berani tanpa keadilan akan menjadi penyamun”.

43. Masyarakat nusantara kagum dengan epik India yang bernama Mahabrata. Epik besar ini mengisahkan perang antara Pandawa dan Kurawa. Para Pandawa berperang bukan sekadar untuk merebut takhta Hastinapura tetapi untuk menegakkan semula dharma atau keadilan yang dihancurkan oleh pihak Kurawa. Arjuna, panglima Pandawa tidak sanggup membunuh sepupu dan guru – gurunya di pihak Kurawa. Namun demi menegakkan keadilan dan mengembalikan semula dharma, beliau sanggup mengangkat busur panahnya yang jatuh.

44. Keadilan adalah nilai sejagat. Keadilan adalah nilai nombor wahid umat Islam, nilai utama masyarakat Asia, Eropah, Afrika. Orang Melayu mahukan keadilan, orang Cina mahukan keadilan, orang India mahukan keadilan, teman – teman masyarakat Iban, Kadazan, Dusun dan Orang Ulu mahukan keadilan. Siapakah rakyat Malaysia yang begitu rosak moralnya hingga mahu ditindas dan dizalimi ?

45. Prinsip keadilan itu, begitu penting maka kita perlu mengangkatnya sebagai kerangka dan haluan besar wadah perjuangan. Kerana itulah, kita mahu menjadikan Keadilan Raya sebagai ideologi parti ini.

46. Selepas perang dunia ke 2, nasionalisme menjadi ideologi parti – parti politik yang memperjuangkan kemerdekaan. Selepas kemerdekaan, pembangunan menjadi ideologi parti pemerintah kononnya untuk memaknai kemerdekaan yang dicapai.

47. Tetapi pembangunan tersebut tidak dipandu oleh nilai keadilan. Maka, pembangunan itu tempang seperti disebutkan oleh penyair Oliver Goldsmith :

Ill fares the land,

where wealth accumulate,

and men decay.

Celakalah negeri itu,

bila hartanya naik menggunung,

tetapi kemanusiaannya runtuh.

48. Hasrat melontarkan Gagasan Keadilan Raya adalah suatu ikhtiar mempertegaskan kembali iltizam kita terhadap perlaksanaan keadilan, kesaksamaan tanpa mengira sempadan kaum, agama dan wilayah. Kita memerlukan nafas segar untuk membetulkan kembali hala tuju negara yang menyimpang.

49. Kita berdepan regim yang menafikan kebajikan rakyat terbanyak, tidak toleran dan tidak demokratik. Suara rakyat dibungkam. Tatkala golongan pelampau, fasis kaum dan agama, menggasak ruang awam dengan sosok ekstrim, pemerintah mengambil sikap masa bodoh dan membisu.

50. Perkataan ‘Raya’ berasal dari perkataan Sanskrit yang membawa maksud, antaranya, besar, megah, hala tuju, merangkul kesemua (inklusif) dan ketegasan. Maka tidak menghairankan, para pejuang kemerdekaan nusantara seperti Ibrahim Yaacob, Burhanudin al Helmy, Gandhi, Okakura Tenshin, Rabindranath Tagore dan Soekarno berkobar – kobar tatkala membicarakan Gagasan Melayu Raya, Indonesia Raya dan Asia Raya.

51. Ia bukan sahaja menjadi slogan akan tetapi suatu ideologi politik, untuk menyatu padukan seluruh rakyat yang bangkit menentang penjajahan.

52. ‘Imagined Community’ atau masyarakat yang diimpikan oleh para pejuang kemerdekaan Asia adalah sebuah masyarakat yang adil dan saksama. Makanya, Keadilan Raya juga adalah kesinambungan atas cita-cita tersebut. Memastikan setiap rakyat Malaysia, samada orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan menikmati kemakmuran negara yang kita cintai ini, seperti ungkapan Abraham Lincoln : “with malice toward none, with charity for all, with firmness in the right as God gives us to see the right, let us strive on to finish the work we are in, to bind up the nation’s wounds.”

53. Seiring dengan tuntutan dan cabaran semasa, Keadilan Raya sewajarnya diikat kepada faham perlaksanaan keadilan, kesaksamaan dan pembangunan sebuah masyarakat madani yang demokratik. Kerana itu, amatlah mustahak Gagasan Keadilan Raya ini bertunjangkan keadilan sebagai kesaksamaan, sebagaimana diungkapkan oleh John Rawls, “Justice as Fairness.”

54. Perlaksanaan keadilan adalah asas kepada kerangka besar kenegaraan. Justeru, tiga prinsip panduan kepada perlaksanaan keadilan tidak boleh sama sekali diabaikan.

55. Pertama : Seluruh rakyat Malaysia dilindungi hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan setiap warganegara adalah samarata dan tiada sesiapapun adalah warga kelas kedua. Keadilan Raya mempertahankan kebebasan beragama, kebebasan berfikir dan kebebasan berkarya.

56. Kedua : Seluruh rakyat Malaysia berhak ke atas kesaksamaan peluang, fair equality of opportunity, berhak untuk menikmati peluang pendidikan serta peluang ekonomi walau apapun latar belakang mereka. Konsep pembangunan yang dibawa oleh Keadilan Raya adalah memacu pertumbuhan ekonomi dengan menjamin prinsip pengagihan yang adil atau distributive justice.

57. Ketiga : Pembentukan Malaysia menjanjikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia yang setara berasaskan prinsip perlembagaan bagi menjamin pengagihan kuasa dan ekonomi yang saksama, adil serta membebaskan rakyat dari penjajahan minda dan jiwa demi mengangkat harga diri rakyat Malaysia.

58. Justeru, melalui Keadilan Raya, KEADILAN dan Pakatan Rakyat komited untuk mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak sejajar dan dalam kerangka Perjanjian Persekutuan dan Perlembagaan negara.

59. Usaha kita untuk menggagaskan Keadilan Raya bermula sejak KEADILAN ditubuhkan. Ia adalah suatu penegasan semula kepada ideologi KEADILAN dan semangat perjuangan reformasi sebagaimana yang tertuang dalam Deklarasi Permatang Pauh.

60. Pada hari ini kita perlu mengungkapkan falsafah Keadilan – Keadilan Raya dengan lebih menyeluruh dan pelbagai dimensi. Melalui perjuangan demokrasi, pelbagai ketidakbebasan tersebut telah berjaya dihapuskan.

61. Gagasan besar yang ingin kita bawa memerlukan satu wadah yang gagah dan unggul. Ini adalah semangat zaman. Untuk menggalasnya, kita perlu memperkukuh perpaduan. Kita meraikan demokrasi dan kepelbagaian. Namun, tanpa kepimpinan, perpaduan dan kesetiaan, demokrasi akan menjadi huru hara dan haru biru.

62. Justeru itu, kita perlu mengelakkan factionalism, alliance atau gabungan yang akan menyebabkan parti yang kita sayangi hancur berantakan. Bagi saya, seluruh anggota parti adalah pasukan saya di bawah naungan kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Kenapa kita perlu mencipta third force ? What we need is just one force. Only one ! That is the force of KEADILAN.

63. Sebagai Timbalan Presiden, saya telah menjelajah ke Ba’ Kelalan, Sarawak, ke Melalap di Tenom merentasi Banjaran Kroker, Sabah. Saya bertentang mata dengan orang Iban di Rumah Panjang Nanga Budu, Saratok; orang Kadazan di Kampung Pilantong, Lanok, Beluran. Saya memasuki kampung, estet dan kampung baru untuk menyelami hati nurani orang Melayu, India dan Cina. Saya ingin tegaskan sekali lagi bahawa KEADILAN bukan parti Melayu. KEADILAN adalah parti seluruh anak Malaysia.

64. Kita tidak melihat warna kulit atau keturunan, tetapi melihat hati nurani dan moral manusia seperti impian Martin Luther King : “…where they will not be judged by the colour of their skin, but by the content of their character.”

Akhir sekali rakan – rakan sekalian,

65. Perjuangan bukan lah permainan. Seorang pemimpin UMNO pernah berkata : “Dalam politik tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal.” Ini adalah falsafah politik yang sifar nilai dan durjana.

66. KEADILAN dibentuk untuk menolak politik lama yang jelek. Kita membawa politik baru yang berteras nilai – nilai murni sejagat. Justeru itu, perlu ada kesetiaan kepada parti sebagai wadah perjuangan. Maka, saudara – saudari sebagai pejuang KEADILAN yang tegar perlu bertekad untuk menjayakan demokrasi. Pilihlah kepimpinan yang tegas, teruji, wibawa dan setia.

67. Dengan semangat Keadilan Raya:

Mari kita gilap semangat dan idealisme perjuangan; rakyat menanti pembelaan dari kita;

Dari latar belakang kaum, kelas dan profesyen yang berbeda, mari kita jalin semangat setiakawan, dan kita bina parti ini dengan kekuatan yang satu, menjadikannya sebagai “bunyanul marsus“, satu bangunan yang kukuh tersusun;

Mari kita jayakan etika dan tata kelola organisasi; melaksanakan ta’dib siyasi, pendidikan politik, agar KEADILAN menjadi sebuah parti yang berdisiplin, cekap dan efisien;

Are you ready?

68. Maka kita akan bergerak sebagai satu parti, satu kekuatan untuk melaksanakan Keadilan Raya.

Leave a Reply

Required fields are marked *.