Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

TIPS ‘SURVIVAL’ BERSIH 2.0

| 2 Comments

Oleh Dr. A. Bahardin

Pada jam 2 petang, Sabtu, 9 Julai 2011, ibu negara, Kuala Lumpur, akan dibanjiri ribuan rakyat yang bakal berhimpun untuk PERHIMPUNAN BERSIH 2.0. Seperti di dalam perhimpunan Bersih 1.0 pada 10 November 2007, lebih daripada 100 ribu rakyat telah berhimpun di ibu negara bagi menyerahkan Memorandum BERSIH kepada Yang Di-Pertuan Agong. Seperti kebiasaan juga perhimpunan itu telah diisytiharkan perhimpunan haram oleh pihak Polis Di Raja Malaysia dan agen – agen anti rusuhan (gas pemedih mata, meriam air) telah digunakan untuk menghalang demosntran daripada meneruskan perhimpunan itu.

Respon pihak polis dan juga beberapa pertubuhan ekstremis dan kenyataan seorang pimpinan UMNO juga telah membayangkan bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 ini; yang sepatutnya berjalan dengan aman; sebagai hak asasi rakyat Malaysia yang dijamin oleh Perlembagaan, bakal menghadapi intimidasi dan provokasi melampau daripada pertubuhan ekstremis yang menjadi tunggangan parti pemeritah. Sikap polis; seperti yang semua sedia maklum menjadi aparatus kepada parti pemerintah, hampir pasti bakal menggunakan seluruh bentuk provokasi dan kekerasan untuk menjustifikasi usaha mereka menghalang perhimpunan rakyat yang aman.

Atas kesedaran ini, saya terpanggil untuk sama – sama berkongsi dengan seluruh rakyat yang bakal menyertai Perhimpunan Bersih 2.0 akan tips – tips ‘survival’, dengan fokus kepada ‘survival’ sebagai individu (baca : demostran) pada hari tersebut.

Agen anti-rusuhan (AAR) merujuk kepada penggunaan beberapa jenis gas, seperti chloroacetophenone (CN) dan chlorobenzylidenemalononitrile (CS), atau lebih dikenali sebagai gas pemedih mata. Jika individu terdedah kepada gas – gas ini, ianya akan menyebabkan kegatalan pada mata, kulit dan hidung, loya dan juga kesukaran bernafas dalam masa beberapa minit sahaja. Di dalam situasi yang jarang berlaku, AAR boleh menyebabkan komplikasi kronik seperti, kebutaan dan lebih dahsyat lagi maut.
Mengambil kira faktor ini, beberapa langkah perlu diambil bagi menghadapai situasi dimana Perhimpunan BERSIH 2.0 ini di’serang’ pihak Unit Simpanan Persekutuan (baca: FRU) dengan AAR dan juga meriam air;

Elak daripada terdedah. AAR adalah agen yang amat memedihkan dan bisa membawa maut. Tanda awal bahawa AAR akan digunakan adalah apabila FRU mula mengenakan topeng gas dan mengeluarkan senjata pelancar AAR. Elak keadaan ini. Lari dari berada di kawasan jarak tembakan.

Bersiap sedia. Pakai pakaian yang meliputi seluruh tubuh badan dan jika boleh hingga ke paras pergelangan tangan. Jika anda memiliki topeng gas, tidak salah untuk membawanya bersama. Selain itu topeng respirator lain boleh turut digunakan terutama yang digunakan untuk menapis bauan cat dan ‘thinner’. Alternatif lain, rendamkan ‘bandanna’ atau kain ke dalam cuka atau jus lemon, dan tutup mulut dan hidung dengan kedap. Selain itu, demonstran dinasihatkan juga untuk membawa ‘goggle’ renang bagi melindungi mata di saat gas AAR memenuhi ruang perhimpunan. Bagi mereka yang memakai kanta sentuh, anda dinasihatkan untuk tidak memakainya pada hari perhimpunan. Bekalkan diri anda juga dengan air (dibawa dalam botol) dan tepung penaik, ini bagi digunakan untuk meneutralkan bahan kimia yang telah terkena pada kulit. Elakkan memakai krim berasaskan minyak ataupun ‘sun-block’ kerana bahan – bahan ini bakal menyebabkan resapan kimia dari AAR meningkat.

Jauhi kawasan gas. Kaedah terbaik adalah untuk mengelak dari tempat yang telah diliputi gas AAR. Pergi ke tempat tinggi kerana gas AAR tumpat dan jarang naik ke udara. Jika anda berada di luar bangunan, masuk ke dalam bangunan terutama yang mana aliran udara luar tidak dapat masuk.

Basuh mata anda. Jika mata anda telah terdedah kepada gas AAR, jangan gosok mata anda. Jika anda memakai kanta sentuh, tanggalkan. Basuh dengan air selama 10 minit. Kanta sentuh yang telah terdedah jangan dipakai semula.

Mandi dengan air sejuk. Air panas akan menyebabkan liang roma kita terbuka dan memudahkan lagi bahan kimia AAR meresap ke dalam badan. Cuci badan sekurang – kurang 3 ke 5 minit. Jika demonstran mempunyai tepung penaik, campurkan dengan air dan sapukan pada seluruh badan terutama bahagian yang telah terdedah kepada AAR. Ini bagi meneutralkan kesan kimia AAR. Setelah yakin semua AAR dinyahkan dari badan, demonstran bolehlah mandi dan menggunakan sabun bagi membersihkan badan.

Jumpa dengan doktor. Jika didapati selepas melakukan semua perkara di atas, tetapi simptom iritasi dan kegatalan masih kekal, demonstran dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan kecemasan segera daripada hospital berdekatan.

Amaran buat para demonstran, jika AAR digunakan, kebanyakkan dari anda yang terdedah, akan menghadapi gangguan penglihatan kerana iritasi pada mata. Ini akan menganggu pergerakan anda dan kecenderungan untuk tersilap langkah dan lalu terjatuh. Situasi ini amat merbahaya kerana anda terdedah kepada risiko dipijak oleh demostran lain. Jika terperangkap dalam situasi seperti ini, jangan panik. Bersihkan mata anda dengan air yang banyak. Bilamana, anda terjatuh, tundukkan kepala, rapatkan lutut anda ke dada dan lengkungkan badan anda, ini mampu untuk mengurangkan ruang yang terdedah kepada risiko dipijak dan juga membantu melindungi organ – organ penting di dalam badan.

Semoga dengan tips – tips ini, para demonstran pada Perhimpunan BERSIH 2.0 bakal lebih bersedia untuk kemungkinan paling buruk. Saya mendoakan agar perhimpunan berjalan dengan aman tanpa provokasi apatah lagi tindak balas keras dari pihak berkuasa, saya juga mendoakan agar tuntutan BERSIH 2.0 bakal membawa reformasi sistem yang telah lama kita perjuangkan kerana saya percaya, akhirnya, kuasa rakyat jua yang akan mengatasi hegemoni pemerintah!

Hidup, hidup! Hidup RAKYAT!

Penulis merupakan seorang doktor. Idolanya Che Guevara seperti di dalam Motorcycle Diaries, tetapi tidak sekali akan mengangkat senjata. Sering bergelut di antara membaca dan komitmen kerja yang berat dan mengorbankan masa

2 Comments

  1. terimaksih encik,tips ini sangat berguna kepada saya.
    HIDUP HIDUP!
    HIDUP RAKYAT!
    MAMPUS MAMPUS
    UMNO MAMPUS

  2. share ye.. terima kaseh..

Leave a Reply

Required fields are marked *.