Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

UCAPAN PENGGULUNGAN PERBAHASAN RANG UNDANG – UNDANG PERBEKALAN TAHUN 2014 YB DR AFIF BIN BAHARDIN EXCO PERTANIAN & INDUSTRI ASAS TANI, PEMBANGUNAN DESA DAN KESIHATAN

| 0 comments

DUN-Penang-300x203

 

PENDAHULUAN

Terima Kasih Yang Di Pertua Dewan;

1. Saya mengucapkan terima kasih kepada kesemua Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan ucapan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang terutamanya yang berkaitan dengan portfolio yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya, iaitu Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa & Kesihatan.

2. Saya juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua agensi dan jabatan negeri yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan program-program yang telah dirancang untuk tahun 2014 dan seterusnya. Saya berharap jalinan kerjasama yang padu antara semua jabatan dan agensi dapat diteruskan untuk melancarkan lagi perjalanan program untuk tahun 2014 yang berbaki 6 bulan lagi.

 

MELESTARIKAN SEKTOR PERTANIAN

3. Untuk makluman ahli Dewan, bagi tahun 2013, jumlah pengeluaran tahunan produk pertanian seperti padi, buah – buahan, sayur – sayuran, tanaman ladang dan rempah ratus, adalah sebanyak 1,829,077 tan dengan nilai pengeluaran menghampiri RM673,182,541 juta. Sektor ternakan negeri turut menunjukkan peningkatan dalam pengeluaran. Begitu juga dengan sektor akuakultur dan jumlah ikan yang didaratkan. Berlaku peningkatan dalam pendaratan ikan iaitu sebanyak 52,485.41 tan metrik pada tahun 2012 kepada 58,200.71 tan metrik pada tahun 2013.

4. Berikutan itu, kerajaan negeri sangat komited untuk terus menjayakan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Juru seluas 115.2 hektar dan Zon Industri Akuakultur (ZIA) Penaga kelak. Bagi meningkatkan lagi sumber pengeluaran makanan negeri. Maka, Kerajaan Negeri sangat memerlukan kerjasama semua pihak untuk menjayakan rancangan ini supaya kita dapat mengurangkan jumlah import makanan negeri.

Tanah Pertanian

5. Seperti yang telah dijawab di dalam soalan lisan saya kepada YB Permatang Pasir; jumlah keluasan tanah yang ditukar syarat adalah sebanyak 560.61 hektar dan mengikut pecahan daerah seperti di dalam lampiran. Untuk makluman YB; sejak 2008; adalah menjadi amalan kerajaan negeri, melalui Jawatankuasa Perancang Negeri – sebarang tanah pertanian yang aktif, tidak akan dibenarkan untuk dipinda syarat. Kebanyakan permohonan pertukaran syarat tanah yang dipohon ini adalah tanah – tanah yang memang telah tidak digunakan untuk aktiviti pertanian. Kebanyakannya telah terbina samada kilang industri, rumah kediaman atau aktiviti lain. Boleh saya katakan bahawa kebanyakan kelulusan yang diberikan ini adalah di dalam bentuk “pemutihan” status penggunaan tanah – tanah ini.

6. Demi menghadapi cabaran – penambakan haram; termasuk pengorekkan, perataan, pemotongan pokok atau penarahan bukit – pemantauan berterusan dilaksanakan dengan kerjasama daripada penduduk setempat, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pertanian, IADA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan juga Pejabat Daerah. Kegiatan – kegiatan jenayah ini sentiasa dipantau dan penguatkuasaan dilaksanakan; seperti yang termaktub di bawah peraturan PBT iaitu Seksyen 70A Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (mengenai kerja tanah tanpa kelulusan).

7. Mengenai kegusaran berkenaan penurunan pengeluaran padi akibat kegiatan pertukaran tanah pertanian kepada pembangunan yang dibangkitkan oleh ADUN Permatang Pasir, saya ingin jelaskan di sini bahawa, sehingga Disember 2013, dengan keluasan tanaman seluas 12,782 hektar, pengeluaran padi adalah sebanyak 144,436 tan dengan nilai RM180,545,000.00 iaitu meningkat sebanyak 30% berbanding tahun 2012. Ini menandakan meskipun terdapat pertukaran tanah pertanian kepada pembangunan, pengeluaran pertanian masih meningkat dan rezoning tanah adalah terkawal.

Usahawan Tani Muda

8. Susulan pengumuman YAB Ketua Menteri berkenaan penubuhan Tabung Usahawan Tani Muda, satu usaha di peringkat akhir sedang dirangka dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk memastikan pelaksanaan program ini berjalan lancar. Diharapkan dengan bantuan mikrokredit berjumlah RM5,000.00 ini, guna tanah di Pulau Pinang dapat dimaksimumkan dan golongan muda sentiasa bersemangat meningkatkan pendapatan melalui sektor pertanian, penternakan dan perikanan dan juga demi memastikan kelangsungan sektor industri pertanian ini.

Khazanah sumber laut negeri

9. Kelangsungan sumber laut negeri sangat penting kepada sejumlah hamper 5,000 orang nelayan di Pulau Pinang. Berikutan itu, adalah sangat penting untuk memfokuskan usaha bukan sahaja untuk mengekalkan malah meningkatkan sumber laut negeri demi menjamin pendapatan berterusan kepada nelayan. Oleh yang demikian, bagi menyokong usaha-usaha konservasi sumber ikan, Kerajaan Negeri bersama Jabatan Perikanan akan memperuntukkan dana untuk penyediaan tukun tiruan di perairan Pulau Aman, Sg Udang dan Penaga – ini adalah langkah bagi menjamin supaya lebih banyak habitat ikan dibina dan secara langsung meningkatkan populasi ikan di perairan kita.

10. Untuk memastikan usaha konservasi hidupan spesis penyu adalah berterusan, Pusat Konservasi Penyu di Pantai Kerachut akan terus dibantu melalui peruntukan negeri. Kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan untuk membina kolam khas yang lebih baik untuk populasi penyu di pantai ini sebanyak RM200,000.

11. Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, Kerajaan Negeri sangat mengambil berat mengenai keperluan para nelayan. Bantuan dalam bentuk pemberian pukat; sebanyak 2 kali setahun; kepada kesemua hampir 2500 nelayan pesisir pantai, adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri. Jumlah peruntukan yang dikeluarkan untuk usaha ini adalah sebanyak RM1.6 juta. Bantuan yang bermula sejak 2013 ini adalah perlaksanaan janji manifesto Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam PRU lepas – inilah namanya Janji Ditepati – untuk tahun 2014, para nelayan telah menerima bantuan kali pertama. Para nelayan akan sekali lagi menerima bantuan ini pada akhir tahun 2014. Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri yang amat memahami keperluan rakyatnya termasuklah para nelayan pantai.

12. Menjawab aduan dari para nelayan yang dibangkitkan oleh YB Sungai Acheh, latar insiden ini saya percaya berlaku pada 10 November 2013 apabila telah berlaku aduan tentang kematian kerang dan ikan dalam sangkar di perairan Sungai Udang dan Kuala Juru melibatkan seramai 32 pengusaha. Siasatan telah dijalankan oleh Jabatan Perikanan Negeri dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan pada 21 November 2013. Kesimpulan daripada penyiasatan mereka menyaksikan; punca sebenar kematian kerang dan ikan yang berlaku adalah sukar untuk ditetapkan memandangkan semua parameter mutu air telah pulih ke tahap memuaskan. Pihak institut juga menemui kesan pencemaran nutrient dan logam berdekatan muara Sg Burong namun sumber pencemaran gagal untuk dikenal pasti. Pemantauan berterusan daripada Jabatan dan Institut kekal berjalan.

13. Kerajaan Negeri juga memastikan pemantauan ternakan ikan dalam sangkar di sekitar laut negeri ini dilaksanakan dengan baik oleh agensi-agensi berkaitan terutamanya Jabatan Perikanan, Pejabat Daerah. Hasil industri akuakultur di negeri ini adalah sangat besar dan lumayan. Maka menjadi matlamat kerajaan negeri bahwa indsutri ini dapat berkembang dengan baik dan lestari.

Penanaman Padi dan Mendepani El-Nino

14. Saya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan tinggi yang ditunjukkan oleh YB Sungai Dua – tentang permasalahan atau cabaran untuk pesawah kita dalam mendepani cabaran El-Nino. Untuk makluman Ahli Dewan; kita bersyukur ke hadrat Tuhan; walaupun sumber bekalan air; seperti Sungai Muda, Sungai Jarak, Sungai Kulim, Sungai Kerian dan juga sumber dari tadahan hujan di Balik Pulau – sedikit terjejas dengan kemarau baru – baru ini; kesemua kawasan padi dijangka akan mendapat bekalan air secukupnya seperti jadual yang diubahsuai dan dikemaskini.

15. Untuk makluman Ahli Dewan; sejak kemarau bermula Mac lepas, mesyuarat jawatankuasa pembekalan air kawasan tanaman padi telah dimulakan dan laporan berkala setiap minggu dihantar kepada Exco. Kerjasama daripada semua jabatan dan agensi; Jabatan Pertanian, IADA, JPS, PBA, Jabatan Meteriologi telah menyusun dan merangka strategi “micro planning” untuk memastikan bekalan air ke kawasan bendang mencukupi.

16. Lawatan saya ke sumber – sumber air utama seperti Rumah Pam Bumbung Lima dan Rumah Pam Guar Perahu menyaksikan bahawa tahap sungai atau sumber air kita adalah berada di tahap yang sihat dan memuaskan. Kerjasama tinggi daripada warga tani, PPK, kelompok adalah sangat mengalakkan dan saya mengucapkan terima kasih atas kecekalan dan kesabaran mereka di dalam saat yang sukar ini. Kita juga berdoa agar kemarau El-Nino yang dijangka berlaku tidak mendatangkan mudarat yang besar kepada negeri kita ini.

MENSEJAHTERAKAN TAHAP KESIHATAN

17. Sebagaimana yang kita maklum, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program bagi memelihara tahap kesihatan rakyat serta meningkatkan tahap kesedaran penjagaan kesihatan di kalangan rakyat. Antara usaha yang telah dibuat adalah pembukaan Pusat Dialisis CAT, Penang Sihat, Penang Bebas Asap Rokok (PENBAR) dan Program Pemeriksaan Mammogram percuma untuk wanita Pulau Pinang.

Pusat Dialisis CAT

18. Kerajaan Negeri juga sedang bekerjasama rapat dengan agensi swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk membuka tiga lagi Pusat Dialisis CAT iaitu di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan satu lagi di Farlim. Usaha Kerajaan Negeri ini jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan penjagaan kesihatan yang perlu disampaikan kepada rakyat. Bagi Pusat Dialisis di Daerah SPU, Kerajaan Negeri sekali lagi akan bekerjasama dengan Bbraun untuk melengkapkan Pusat Dialisis CAT dengan peralatan dan mesin dari syarikat tersebut. Pengurusan Pusat Dialisis CAT yang sedang beoperasi kini juga ditambah baik dari semasa ke semasa bagi menjamin perkhidmatan yang selesa dan mesra kepada pesakit. Kerajaan Negeri berhasrat untuk mewujudkan Pusat Dialisis CAT di semua daerah dalam negeri ini.

Penang Sihat

19. Program Penang Sihat yang dimulakan pada Disember 2013 sedang giat dilaksanakan. Sehingga kini, program ini telah diadakan di DUN Sungai Bakap, Permatang Pasir, Machang Bubok dan Seberang Jaya. Seterusnya kem kesihatan ini akan diadakan di DUN Kebun Bunga. Sepanjang mengadakan program ini, purata kunjungan masyarakat ke Program ini di dalam anggaran 100 orang setiap program. Pemeriksaan yang dijalankan bukan sahaja pemeriksaan kesihatan tetapi juga pemeriksaan lain seperti penglihatan dan pendengaran secara percuma turut diadakan dengan kerjasama organisasi swasta. Kerajaan Negeri berjaya menyampaikan mesej kepentingan penjagaan kesihatan serta berupaya memberi kesedaran berkenaan ‘Non-Communicable Diseases’ seperti Diabetes Mellitus, Hypertension, Cardiovascular Diseases dan lain – lain dikalangan masyarakat Pulau Pinang.

Mammogram Sayangi Wanita Pulau Pinang

20. Dalam usaha mendapatkan operator yang benar-benar layak untuk menjalankan perkhidmatan pemeriksaan mammogram percuma kepada golongan wanita Pulau Pinang, tawaran Request For Proposal Bagi Cadangan Penyediaan Perkhidmatan Mammogram Percuma juga telah ditawar semula bermula semalam – Rabu 21 Mei 2014 dan akan ditutup pada 2 Julai 2014. Semua operator yang telah memiliki pusat saringan mammogram atau yang berkaitan dengannya sangat dialukan untuk menyertai tawaran RFP ini. Langkah ini diharap dapat memberikan perkhidmatan mammogram percuma kepada hamper 52,000 golongan wanita berumur 35 tahun ke atas dan bakal melibatkan perbelanjaan mencecah RM 3 juta. Inilah komitmen Kerajaan Negeri dengan slogan “Sayangi Wanita Pulau Pinang”.

Wabak Denggi

21. Isu yang hangat diperkatakan di dalam media dan juga soalan dewan yang paling kerap saya terima adalah berkenaan dengan masalah wabak Denggi. Sehingga kini, Pulau Pinang berada dalam kedudukan ke – 8 di Malaysia bagi statistik penularan wabak denggi di Malaysia dengan hanya 3 kematian sahaja dicatatkan untuk tahun ini berbanding. Kini, corak dan statistic menunjukkan ada penuruan kes berbanding hujung tahun lepas dan awal tahun ini; namun pelbagai usaha masih terus dilipatgandakan. Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan saya kepada semua pegawai kesihatan, unit vektor dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan usaha ‘perang’ dengan wabak denggi ini atas kesungguhan dan kecekalan mereka. Pengorbanan kalian tiada tolok bandingnya.

22. Bagi memastikan kawasan perbandaran di Pulau dan Seberang Perai tidak menjadi tapak pembiakan aedes, pelbagai langkah telah dilaksanakan dengan kerjsama Jabatan Kesihatan Negeri, MPPP dan MPSP. Kerajaan Negeri juga telah menganjurkan Gotong – Royong Perdana Penang Sihat pada 2 Mac lalu; yang mana telah dijalankan serentak di 46 lokasi di seluruh negeri Pulau Pinang. Syabas diucapkan kepada semua yang terlibat dalam gotong – royong ini terutamanya MPPP dan MPSP serta penduduk setempat.

23. Antara punca pembiakan aedes adalah disebabkan oleh terdapat tapak pembuangan sampah haram. Maka, saya ingin meminta jasa baik semua ADUN agar bersama – sama mengatasi masalah ini dan mempromosikan agar tiada lagi tapak pembuangan sampah haram yang diwujudkan. Kita ingin melihat persekitaran yang bersih sejajar dengan cita – cita kita menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

24. Saya juga ingin mengalu – alukan Ahli Dewan, untuk turut sama terlibat dalam promosi dan penyebaran ‘abate’ kepada komuniti dengan meletakkan abate ini di Pusat – Pusat Khidmat KADUN. Kepada semua Yang Berhormat, boleh mendapatkan bekalannya daripada pejabat saya atau melalui Pejabat Kesihatan Daerah. Langkah ini diharap dapat menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes pembawa virus Denggi kerana ini adalah strategi atau pendekatan utama untuk mengatasi masalah wabak ini.

PEMBANGUNAN DESA

25. Bagi membangunkan kawasan desa secara menyeluruh, pembangunan modal insannya perlu diperkasakan terlebih dahulu. Pembanguan desa perlu dimulakan dengan program-program pembangunan belia desa yang mampu menyerlahkan sifat kepimpinan belia desa, meningkatkan daya kreativiti dan menajamkan intelektual mereka. Justeru, kemudahan – kemudahan bagi aktiviti-aktivti ekonomi dan sosial yang boleh dimanfaatkan oleh para belia desa akan dipertimbangkan. Atas kesedaran ini, satu Dasar Pembangunan Desa Negeri bakal digubal dan masih lagi diperingkat awal. Diharap dengan adanya dasar ini; maka potensi desa di negeri ini dapat dioptimakan.

26. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa telah memberi peruntukkan melalui Projek Khas Ekonomi bagi membiayai kos baik pulih dan naiktaraf bangunan di luar bandar. Tinjauan tentang keperluan pembaikan dan naiktaraf sentiasa dipantau oleh Pejabat Daerah & Tanah. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM898,000,00 bagi pembaikan 80 rumah rakyat termiskin di semua daerah. Bagi program peningkatan ekonomi juga, sebanyak RM90,000.00 telah dibelanjakan bagi pemberian bantuan peralatan perniagaan. Saya juga sentiasa membuka ruang kepada semua ADUN untuk memaklumkan kepada pentadbiran pejabat saya sekiranya terdapat rakyat di kawasan masing-masing yang memerlukan bantuan pembaikan atau membina rumah baru.

PENUTUP

27. Mengulas mengenai insiden gasar (barbaric) yang berlaku semalam; Sasterawan Negara Usman Awang pernah mengingatkan kita:

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun…

Apakah UMNO masih membawa pekerti Melayu seperti yang dinukilkan oleh Usman Awang? Melihat kepada insiden yang dilakukan oleh Pemuda UMNO semalam; jawapannya pasti tidak. Perjuangan UMNO pada hari ini hanyalah perjuangan untuk membela tembolok kerabat dan bukannya rakyat. Budaya politik UMNO pada hari ini adalah berteraskan politik maki hamun, cerca dan fitnah. Lihat saja apa yang diungkapkan oleh pemuda – pemuda mereka semalam.

28. Suka untuk saya berkongsi dengan Ahli Dewan, firman Allah di dalam Surah Al – Ra’d ayat 11 :

“…… sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri….”

29. Saya ini muda dan saya suka belajar dari sejarah, kerana sejarah yang akan mendidik kita untuk menjadi manusia dan bangsa yang lebih baik. Dato Onn; pengasas UMNO pernah bercita – cita. Beliau mengungkapkan seperti yang disiarkan di dalam Straits Times bertarikh 28 Jun 1955, menyatakan bahawa;

“To be independent is not merely to be free from rule by any nation or power. A country must first be able to stand on its own feet to do things by itself and manage its own affairs in an orderly and efficient manner.”

Kenyataan Dato Onn ini jelas menunjukkan beliau memilih landasan seperti mana yang disebut Dato’ Dr Siddiq Fadzil di dalam buku beliau “Islam dan Melayu” bahwa perjuangan merubah nasib sesuatu bangsa itu harus bermula dengan taghyir al-nufus; mengubah jiwa dan minda bangsa.

30. Peribadi Melayu yang diwariskan oleh UMNO pada hari ini adalah watak Melayu yang tidak boleh dipertahankan lagi. Malah UMNO lah yang telah membunuh ciri-ciri kemelayuan yang dianjurkan oleh Islam. Layakkah perjuangan yang menjulang perasuah dan menghalalkan fitnah digelar sebagai perjuangan Islam dan Melayu?

31. UMNO hari ini bukanlah lagi wadah untuk mengangkat ketamadunan bangsa ini. UMNO tidak mampu lagi untuk mengeluarkan bangsa ini daripada kegelapan kepada cahaya. UMNO akhirnya tunduk kepada pujuk – rayu kemewahan yang melalaikan, bergelumang dengan rasuah dan komisen, yang akhirnya mengelincirkan mereka daripada landasan sebagai sebuah parti yang menjulang martabat bangsa. UMNO menjadi parti yang gasar dan lemah ideologinya. UMNO menjadi parti yang tidak lagi mampu untuk mempertahankan kedaulatan undang – undang dan keluhuran Perlembagaan. Sudah tiba masanya bangsa ini mengorak langkah kehadapan, membina Malaysia yang lebih baik, dengan menolak secara total parti gasar bernama United Malays National Organization (UMNO)

32. Sebagai anak muda dan mewakili suara generasi muda negara ini; kami dambakan perubahan. Kami mengimpikan masa depan negara yang lebih baik dan terjamin baik dari segi ekonomi, sosial dan politik. Tidaklah kami mahukan selain daripada sebuah negara yang dapat menjamin keadilan sosial untuk segenap anak bangsa. Apa yang diharapkan rakyat adalah sebuah kerajaan yang mengamalkan tatakelola yang baik, melaksanakan polisi – polisi yang mesra rakyat (people-centric policy) dan paling penting sebuah kerajaan yang bersih, cekap, akauntabaliti dan telus, CAT.

33. “All mankind… being all equal and independant, no one ought to harm another in his life, health, liberty of possessions” – Two treatises of Government (1689)

John Locke, filasuf agung telah mengungkapkan ini di dalam buku beliau Two Treatises of Government yang diterbitkan pada tahun 1689; mengangkat darjat setiap manusia setara dan bebas dan menjadi tanggungjawab kita melindungi hak dan kesejahteraan setiap insan. Bahkan semangat ini telah diserap ke dalam Pemashyuran Kemerdekaan yang dilafazkan Tunku pada 31 Ogos 1957 – bahawa setiap warga adalah bebas dan merdeka; serta hak asasi mereka dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan negara ini kekal sebagai negara demokrasi berparlimen. Negara yang dibina di atas prinsip keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang – undang, kesopanan dan kesusilaan.

34. Jasa UiTM tidak akan pernah saya lupakan. UiTM dibina dengan niat untuk memberi pendidikan kepada anak Melayu dan Bumiputera; ia dibina dengan dana rakyat dan seluruh rakyat. Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan pendidikan kepada setiap rakyat. Mengatakan kerana UMNO, maka saya mendapat pendidikan di UiTM adalah tidak tepat; bahkan menghina intelektualisme keseluruhan mahasiswa dan alumni UiTM kerana mereka berada disitu adalah kerana merit dan juga kegigihan mereka untuk mendapat keputusan cemerlang sebelum memasuki universiti. UiTM adalah milik rakyat Malaysia; bukan milik UMNO yang hanya mendapat sokongan 47% rakyat Malaysia!

35. Berdirinya saya disini hari ini, berkat pendidikan di UiTM; pensyarah, guru – guru saya disana telah mengajar dan mendidik saya untuk menjadi seorang rakyat Malaysia yang inginkan kerajaan yang adil, amal tatakelola baik, bebas untuk berfikir dan pastinya bebas untuk memilih dan menilai yang mana intan dan yang mana kaca. UiTM mendidik saya untuk menjadi seorang insan yang menolak rasuah, amalan rasis dan ekstrem, amalan kronisme dan salahguna kuasa yang berleluasa.

36. Saya dan Dyana Sofya ini adalah sebahagian contoh; yang digelar sebagai pengkhianat, “kacang lupakan kulit”, tak mengenang budi, lupa daratan dan asal usul. Mesej saya jelas untuk mereka ini, saya dan Dyana, serta ramai lagi anak muda Melayu negara ini, kami ini memang pengkhianat – khianat pada negara, bangsa, agama dan generasi masa depan jika kami terus benarkan negara ini diperintah oleh sebuah kerajaan minoriti yang korup, bobrok dan gagal untuk mentadbir negara ini dengan baik, iaitu kerajaan UMNO/Barisan Nasional.

37. Masa depan Malaysia, bahkan Pulau Pinang – untuk kembali menjadi negara bangsa yang berdaulat dan disegani di seluruh dunia adalah untuk bersama dengan Pakatan Rakyat, Harapan Rakyat.

Sekian, saya mohon menyokong.

Leave a Reply

Required fields are marked *.