Afif Bahardin

Pakatan Harapan Rakyat

UMNO Kini Parti Gasar

| 0 comments

artikel ini disiarkan pertama kali di Jalan Telawi.com

image

Dato’ Onn Ja’afar didalam Utusan Melayu bertarikh 25 Mac 1946 menyebut;

“ Hidup Melayu yang paling tepat kerana dengan cogan kata ini orang – orang Melayu akan memelihara semangat, maruah serta kesopanan bangsa (Melayu), kita berkehendakan tanah air dan bangsa (kita) ini terselamat dan kuat (bagi) menolak keaiban yang menyebabkan kebinasaan dan kehapusan bangsa (kita).”

Disinilah UMNO bermula – sebagai parti yang dipimpin dan dianggotai ramai pemimpin Melayu berhemah tinggi, pegawai kerajaan yang cintakan negara dan bangsanya lebih dari kepentingan materi dan pemuda – pemuda bangsa yang berjuang atas kesedaran nurani. Parti ini di awal perjuangannya adalah hasil golok – gadai segenap rakyat yang menyokong usaha untuk mengangkat darjat dan maruah bangsanya. Namun, selepas 66 tahun, UMNO tidak lagi seperti apa yang diasaskan oleh Dato’ Onn pada 11 Mei 1946.

Sejak UMNO diharamkan pada 1987, penubuhan UMNO (Baru) oleh kumpulan Tun Dr. Mahathir, terus mengubah landasan politik UMNO sehingga ke hari ini. UMNO menjadi lubuk untuk elit Melayu tertentu; berpolitik bukan lagi dengan agenda membantu rakyat dan bangsa Melayu, tetapi untuk bersaing atau bersekongkol baik samada untuk perluas empayar bisnes, meraih kontrak untuk diagih pada kroni dan keluarga atau melaung slogan Ketuanan tetapi tanpa segan kekal rasuah dan mengadai kepentingan bangsa dan negara untuk laba yang sementara. Akhirnya nikmat materi menjadi asas ideologi perjuangan UMNO, bukan lagi kesedaran jiwa untuk menjulang martabat maruah bangsa Melayu.

Seperti banyak rejim autokratik dalam sejarah, di hujung nyawa, antara simptom utama kejatuhan rejim ini adalah manipulasi aparatus kerajaan yang berleluasa dan juga menularnya amalan intimidasi dan kekerasan fizikal, dengan niat untuk mewujudkan rasa takut di kalangan rakyat dan menggambarkan seolah – olah apabila kuasa mereka terancam, kucar – kacirlah masyarakat, maka atas tiket kestabilan, dicanang pelosok negeri bahawa peralihan kuasa atau kejatuhan rejim adalah sesuatu yang buruk lagi malang.

Landasan UMNO yang kini hidup di atas amalan politik fitnah dan lucah, rasuah dan komisen melimpah ruah, akhirnya telah melahirkan generasi di dalam UMNO sendiri yang gagal untuk melihat matlamat akhir politik yang mereka perjuangkan. Apabila pemimpin yang ada di dalam UMNO memilih fitnah, adu domba bahkan kelucahan sebagai senjata politik, maka tidak hairan kebiadapan menjadi anutan orang muda UMNO, bukan lagi kemanusiaan dan kewarasan. Kebenaran tiada lagi utama, pembohongan dan fitnah diulang – ulang bukan hanya sebagai retorik tetapi diangkat sebagai hujah dan isi bidasan.

Bila akal tidak lagi mendasari tindak – tanduk, maka mereka yang di dalam UMNO ini memilih untuk menggunakan kekerasan, kononnya untuk mempertahankan apa yang mereka fikir adalah perjuangan. Walaupun politik intimidasi, sekatan dan bermacam lagi bentuk tekanan telah dikenakan kepada ‘musuh politik’ mereka, mutakhir ini, kecenderungan mereka (baca : orang UMNO) adalah melakukan ancaman dan kekerasan dalam bentuk fizikal. Ini menjadi rutin mereka sekarang ini. Rutin seolah – olah tindak – tanduk ini yang bakal memenangi kembali hati rakyat untuk menyokong mereka.

Bermula dengan serangan fizikal yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila kenderaan beliau diserang dan dirosakkan Pemuda UMNO di Sembrong, Johor beberapa bulan lalu; terbaru, seperti ramai sedia maklum, adalah serangan terhadap program Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah, menyaksikan seorang penyokong Keadilan dilempar dengan batu sehingga cedera dan ada juga yang dilempar dengan telur. Tidak lupa juga gangguan dan serangan yang serupa terpaksa dihadapi oleh pimpinan Parti Tindakan Demokratik Rakyat (DAP) di dalam program – program mereka di beberapa tempat di seluruh negara.

Pemuda UMNO, pasca Mac 2008, mengambil pendekatan lucu dan bacul dengan menganjurkan ceramah serentak di program – program anjuran Pakatan Rakyat, dengan tujuan intimidasi – menggugat keharmonian dan ketenteraman program anjuran Pakatan Rakyat. Habis diusung ‘hulubalang’ dan ‘puteri’ mereka ke merata pelusuk negeri, kononnya untuk ‘mengancam’ pimpinan Pakatan Rakyat yang ada, malangnya usaha mereka sia – sia. Maka apabila melihat intimidasi ‘psikologi’ ini gagal, mereka bertindak liar dan ganas dengan melakukan kekerasan fizikal ke atas penyokong Pakatan Rakyat dan orang awam yang tidak berdosa.

Saya menjangkakan, menjelang Pilihan Raya Umum ke – 13, tindakan gasar ini akan semakin menjadi – jadi. Sikap diam diri pimpinan UMNO, baik Presiden sehingga kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, menunjukkan betapa mereka ini bukan hanya lemah dalam memimpin rakyat, tetapi juga gagal mengawal anak buah mereka sendiri. Saat pimpinan UMNO ini melaungkan transformasi dan slogan 1 Malaysia, orang UMNO dibawah berkelakuan seperti ahli kongsi gelap (baca : samseng) yang akalnya cetek dan pendek.

Malangnya, sehingga ke hari ini, pihak berkuasa terutamanya Polis Di Raja Malaysia langsung tidak mengenakan tindakan undang  – undang yang serius ke atas pembuat kacau ini. Lebih malang, sikap PDRM ini akan memberi mesej yang salah kepada masyarakat bahawa di Malaysia ini terdapat dua set pengamalan undang  – undang; yang mana satu adalah untuk mereka yang pro – pemerintah dan satu lagi untuk mereka yang tidak sebulu dengan pemerintah, dan yang lebih ditakuti jika masyarakat mula beranggapan bahawa ancaman fizikal seperti ini adalah norma dan dibenarkan oleh penguasa.

Maka jika kita meneliti kembali aspirasi yang ingin diwariskan Dato’ Onn buat bangsa ini, hari ini, UMNO gagal dan jauh terpesong. UMNO gagal untuk memelihara semangat, maruah serta kesopanan bangsa Melayu. UMNO juga gagal mempertahankan tanah air dan bangsa ini lantas menolak keaiban yang menyebabkan kebinasaan kepada bangsa ini. UMNO bukan saja gagal meneruskan kesinambungan UMNO sebagai parti bangsa yang bermaruah, sebaliknya menjadikan UMNO tak lebih dari sekelompok manusia gasar yang berpolitik.

Saat sentimen rakyat yang dahagakan Perubahan hari ini, UMNO kelihatan semakin tenggelam punca. Era dimana rakyat dinafikan haknya dan martabat kemanusiaanya sudah tiba di penghujungnya. Rakyat kini sudah sedar bahawa rakyat dan penguasa bukan lagi hubungan mentimun – durian. Rakyat sekarang sudah sedar bahawa kesetiaan mereka bersyarat, ‘derhaka’ mereka bersebab.

Hala tuju UMNO tidak lagi sehaluan dengan aspirasi Dato’ Onn. Aspirasi Dato’ Onn selari dengan seruan Allah swt di dalam Surah Al –Ra’d ayat 11;

“….. sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri….. “

Dato’ Onn di dalam Straits Times bertarikh 28 Jun 1955, menyatakan bahawa;

“To be independent is not merely to be free from rule by any nation or power. A country must first be able to stand on its own feet to do things by itself and manage its own affairs in an orderly and efficient manner.”

Dari kenyataan ini, dapat dilihat bahwa Dato’ Onn memilih landasan seperti mana yang disebut Dato’ Dr Siddiq Fadzil di dalam buku terbaru beliau; Islam dan Melayu bahwa perjuangan merubah nasib sesuatu bangsa itu harus bermula dengan taghyir al – nufus; merubah jiwa dan minda bangsa.

UMNO hari ini bukanlah lagi wadah untuk mengangkat ketamadunan bangsa ini. UMNO tidak mampu lagi untuk mengeluarkan bangsa ini daripada kegelapan kepada cahaya. UMNO akhirnya tunduk kepada pujuk – rayu kemewahan yang melalaikan, bergelumang dengan rasuah dan komisen, yang akhirnya mengelincirkan mereka daripada landasan sebagai sebuah parti yang menjulang martabat bangsa. UMNO menjadi parti yang gasar, bacul dan lemah ideologinya. Sudah tiba masanya bangsa ini mengorak langkah kehadapan, membina Malaysia yang lebih baik, dengan menolak secara total parti gasar bernama United Malays National Organization (UMNO) pada pilihan raya umum akan datang.

Leave a Reply

Required fields are marked *.